Isnin, 21 Disember 2020 | 5:18pm
(Gambar fail) Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto: BERNAMA
(Gambar fail) Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto: BERNAMA

Pindaan akta akan rancakkan sektor koperasi - ANGKASA

KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) mengunjurkan sektor koperasi terus mencatatkan pertumbuhan rancak dengan penambahbaikan akan dibuat terhadap Akta Koperasi 1993 (Akta 502).

Pengerusi, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 yang diluluskan di persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini kini dalam proses untuk dibentangkan di Dewan Negara pula untuk kelulusan.

"Jika peringkat Senator lulus, lepas ini bolehlah diwartakan dan undang-undang baharu boleh dilaksanakan," katanya kepada pemberita di majlis penyerahan sumbangan kepada anggota Koperasi Sindrom Down Malaysia Bhd di bawah program tanggungjawab sosial korporat Coopcare Angkasa Prihatin COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata antara pindaan yang diluluskan termasuk penubuhan koperasi boleh dibuat dengan keahlian sekurang-kurangnya 20 orang berbanding 50 orang pada masa ini di samping ahli lembaga bagi satu-satu koperasi dikurangkan daripada enam orang kepada hanya tiga individu.

"Saya percaya dengan mengurangkan jumlah ahli untuk menubuhkan koperasi ia dapat menggalakkan lebih banyak pembukaan koperasi baharu," katanya.

Beliau berkata ini memandangkan Malaysia mempunyai syarat lebih ketat berbanding negara lain bagi penubuhan satu-satu koperasi.

Abdul Fattah berkata pihaknya turut berharap lebih banyak pindaan kepada Akta Koperasi 1993 dapat dibuat pada masa hadapan.

Beliau berkata pihak ANGKASA telah mencadangkan 18 fasal untuk pindaan kepada kerajaan dan setakat ini hanya sembilan fasal yang dipinda.

"Ada lagi sembilan fasal yang kita harap dapat dipinda dan saya bersetuju dengan pendapat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini yang mengatakan kita perlu buat pindaan yang lebih menyeluruh.

"Ini kerana sejak akta ini diwujudkan, belum ada pindaan menyeluruh dilaksanakan. Ini (pindaan) penting dengan mengambil kira perkembangan perniagaan pada hari ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (Transkom) yang akan dilancarkan tidak lama lagi, menetapkan sasaran sumbangan perolehan koperasi sebanyak RM60 bilion pada 2025 dan RM100 bilion menjelang 2030.

Beliau menjelaskan sumbangan perolehan koperasi semasa berjumlah RM45.7 bilion justeru, sektor ini perlu menambah perolehan sebanyak RM5 bilion setahun untuk mencapai sasaran berkenaan, .

"Oleh itu, ANGKASA dan koperasi-koperasi sentiasa berusaha meneroka bidang perniagaan baharu dan itulah sebab Angkasa sedang mengambil inisiatif untuk bersama-sama dengan rakan strategik memohon lesen bank digital," katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X