Selasa, 15 Disember 2020 | 11:25am
(Gambar fail). Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai. - Foto: NSTP/DANIAL SAAD
(Gambar fail). Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai. - Foto: NSTP/DANIAL SAAD

FMM sokong GST diperkenalkan semula

KUALA LUMPUR: Peserta industri perkilangan menyokong Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula, tetapi ia perlu dipertingkatkan dengan menjadi lebih mesra pengguna dan perniagaan.

Dalam kaji selidik yang dijalankan membabitkan 499 syarikat, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata, responden menyokong kuat pelaksanaan semula sistem cukai kepenggunaan itu.

Malah, responden juga memberi beberapa cadangan penambahbaikan yang perlu dibuat seperti mengurangkan kadar GST kepada 3.0 peratus hingga 4.0 peratus untuk merangsang perniagaan yang mana akan meningkatkan peluang pelaburan dan pekerjaan serta pendapatan boleh guna yang tinggi untuk rakyat.

Cadangan lain bagi menjadikan pelaksanaan semula sistem percukaian itu lebih mesra pengguna dan perniagaan termasuk mengenakan kadar sifar untuk semua barang dan perkhidmatan perlu, mengekalkan had siling pendaftaran GST pada RM500,000; meminimumkan kelewatan pengembalian wang terutama bagi pengeksport dan perniagaan yang mempunyai bekalan berkadar sifar kerana tempoh pengembalian yang panjang antara enam hingga lapan bulan menjadikan GST sebagai beban cukai yang terkumpul memastikan mekanisme yang betul dilaksanakan untuk memantau kawalan harga dan anti pencatutan dalam pasaran apabila sistem itu diperkenalkan semula.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata FMM mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan semula GST dengan mengkaji semula kelemahan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada.

Beliau berkata, FMM adalah penyokong kuat rejim GST kerana pihaknya berpendapat bahawa ia adalah kaedah cukai yang lebih telus dan berkesan berbanding dengan SST.

"Lebih 160 negara telah melaksanakan GST kerana struktur cukai yang adil. Lebih penting lagi, harga pengeksport Malaysia

akan menjadi lebih kompetitif di pentas global kerana tiada GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan yang dieksport, sementara GST yang dikenakan ke atas input dapat pulih di sepanjang rantaian bekalan," katanya dalam satu kenyataan.

Soh berkata, FMM juga menyarankan kerajaan berunding dengan semua pemegang kepentingan sepanjang kajian semula yang mana sangat penting untuk menjamin kejayaan memperkenalkan rejim cukai yang berkesan.

Berita Harian X