Khamis, 3 Disember 2020 | 6:53pm
Gambar fail. Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz. - FOTO: NSTP/ASWADI ALIAS.
Gambar fail. Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz. - FOTO: NSTP/ASWADI ALIAS.

Gas asli dijangka sumbang RM400 bilion kewangan awam

KUALA LUMPUR: Gas asli dijangka menyumbang hampir RM400 bilion kepada kewangan awam dalam dekad akan datang dan memberikan sumbangan ekonomi besar di negeri pengeluar gas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata, industri gas asli adalah penyumbang penting dan langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan impak ekonomi tempatan yang meluas.

Beliau berkata, hampir 15,000 pekerjaan diwujudkan oleh industri gas asli di seluruh Sarawak dan Terengganu.

"Penyelidikan juga menunjukkan bahawa industri ini mewujudkan lebih 80,000 pekerjaan dalam ekonomi yang meluas, yang mana untuk setiap 10 orang yang bekerja dalam industri gas asli, lebih 25 pekerjaan diwujudkan dalam ekonomi yang lebih luas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Sidang Meja Bulat Maya Forum Menteri Gas IEF-IGU Ketujuh hari ini.

Tengku Muhammad Taufik berkata, dalam menyokong pertumbuhan industri gas asli, PETRONAS telah melabur lebih RM18 bilion dalam pembangunan infrastruktur gas yang diperlukan, yang mana mempertingkatkan keselamatan tenaga negara.

Beliau berkata, PETRONAS akan terus menyokong gas dan gas asli cecair (LNG), yang mana ia adalah sebahagian daripada agenda rendah karbon yang akan menyokong dan mempercepatkan peralihan tenaga.

Katanya, sebagai pemain LNG jangka panjang, syarikat minyak dan gas nasional itu melabur sepenuhnya untuk membuka potensi sebagai jalan menuju ke arah masa depan rendah karbon untuk generasi seterusnya.

"Sehingga kini, lebih 11,000 kargo telah dihantar dengan selamat ke pasaran utama kami daripada kemudahan global kami di Malaysia, Australia, Mesir dan tidak lama lagi - di Kanada," katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata, Perniagaan Gas dan Tenaga Baharu PETRONAS berada pada kedudukan yang baik sebagai pusat sehenti untuk penyelesaian tenaga yang lebih bersih.

Beliau berkata, dengan menyedari peralihan tenaga, syarikat minyak dan gas nasional itu terus meningkatkan kehadiran sebagai peserta tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia melalui penyelesaian atap solar utamanya yang dikenali sebagai 'M+ by PETRONAS'.

"Hari ini, kami mempunyai lebih 50 megawatt-puncak kapasiti solar di bawah operasi dan pembangunan, yang menyediakan tenaga bersih kepada pelbagai industri dan sektor.

"Beberapa projek ini termasuk Tesco dengan kapasiti 13 megawatt, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) dengan lapan megawatt dan Universiti Teknologi PETRONAS dengan sasaran kapasiti tujuh megawatt menjelang awal 2021," katanya.

Berita Harian X