Rabu, 2 Disember 2020 | 10:28am
Bank Negara Malaysia (BNM) sedia dua dana bagi membantu PKS terjejas akibat COVID-19
Bank Negara Malaysia (BNM) sedia dua dana bagi membantu PKS terjejas akibat COVID-19

PKS boleh mohon biaya modal kerja sehingga RM500,000

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak boleh mendapatkan pembiayaan modal kerja sehingga RM500,000 untuk tempoh sehingga tujuh tahun, termasuk moratorium sekurang-kurangnya selama enam bulan, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, dana itu adalah di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021 bagi membantu PKS terjejas akibat COVID-19.

Selain TRRF, satu lagi dana yang diumumkan pada Belanjawan 2021 adalah Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF).

BNM berkata, TRRF ditawarkan pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun dan boleh diperoleh melalui 21 institusi kewangan peserta, dengan perlindungan jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation (CGC).

"Kemudahan pinjaman bernilai RM2 bilion untuk membantu PKS yang layak dalam sektor perkhidmatan itu kini tersedia sehingga 31 Disember 2021 atau habis digunakan (mana yang lebih awal)," katanya.

Mengenai MEF, BNM berkata kemudahan itu ditambah baik untuk meningkatkan akses perusahaan mikro kepada kredit, yang merangkumi individu yang bekerja sendiri, pekerja sambilan (pekerja gig) yang menggunakan platform digital serta peserta program iTEKAD, iaitu program pembiayaan sosial yang menyokong usahawan mikro dalam golongan B40.

Bank pusat berkata, jumlah peruntukan bagi kemudahan itu ditambah daripada RM300 juta kepada RM410 juta, dengan baki peruntukan yang tersedia sebanyak RM200 juta.

Katanya, perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk tujuan modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga RM50,000.

Ia menambah, kadar pembiayaan akan ditetapkan oleh institusi kewangan peserta dan bagi kemudahan ini, institusi kewangan peserta juga boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada CGC atau SJPP.

"Untuk memohon TRRF, PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta, yang terdiri daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM, menerusi laman web mereka atau pergi ke cawangan-cawangan institusi kewangan peserta.

"Bagi MEF, perusahaan mikro yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta di bawah Skim Pembiayaan Mikro," kata BNM.

BNM menambah, butiran mengenai Kemudahan Teknologi Tinggi (HTF) akan dimumkan pada 15 Disember 2020.

Orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan penyelesaian untuk sebarang isu yang mungkin dihadapi dengan bank mereka menerusi e-mel, bnmtelelink@bnm.gov.my atau menghububung di talian 1-300-88-5465.

Maklumat lanjut mengenai ciri-ciri kemudahan pembiayaan itu boleh diperoleh di www.bnm.gov.my/covid19/.

Berita Harian X