Sabtu, 28 November 2020 | 9:55am
Koleksi Longines Spirit menghidupkan kembali warisannya - FOTO Longines
Koleksi Longines Spirit menghidupkan kembali warisannya - FOTO Longines

Longines Spirit ilham juruterbang, pengembara

SEBUT sahaja Longines, jenama ini tidak asing lagi dengan koleksi jam tangan mewah yang dikagumi ketepatan, kualiti dan teknologinya yang luar biasa.

Diasaskan pada tahun 1832 di Saint-Imier Swiss Jura, Longines mula dikenali dengan jam poket kronograf. 

Kemunculan pesawat dengan keperluan peranti pencatat masa yang tepat, menjadikan Longines jenama yang didambakan penggiat industri penerbangan pada ketika itu. 

Diinspirasikan daripada sejarah keberanian juruterbang dan pengembara terdahulu, Longines melancarkan koleksi jam tangan baharu iaitu Longines Spirit.

Klasik dan elegan

Koleksi Longines Spirit adalah sebahagian daripada jam tangan siri tradisi, dengan inspirasi vintaj, rekaan retro dan bukannya rekaan semula. 

Longines Spirit adalah edisi baharu yang menggabungkan elemen klasik dengan mekanisma moden dan kod kontemporari.

Dilancarkan dalam dua versi iaitu jam tangan tarikh dan masa  (time-and-date) serta kronograf automatik, kedua-duanya mempunyai elemen reka bentuk yang hampir sama. 

Image

Koleksi Longines terbaharu ini boleh dikategorikan sebagai jam tangan edisi juruterbang yang masih mengekalkan sebahagian besar ciri tradisionalnya.

Kedua-dua model Longines Spirit hadir dengan sarung keluli tahan karat berbentuk klasik dengan garis yang jelas. 

Bahagian tengahnya pula hadir dengan permukaan yang digilap rapi di sisi dan dihiasi bezel. 

Permukaan kristal safir berkubah di atas (dan sarung belakang keluli) pula menyerlahkan lagi gaya pemakai jam tangan edisi juruterbang.

Image

Kedua-dua versi mempunyai 'crown' yang besar dan kronografnya dilengkapi dengan butang penekan besar jenis cendawan, serta skru pembetulan tarikh.

Ia didatangkan dalam tiga warna dail berbeza iaitu Black Matte, Sunray Blue dan Grained Silver.

Kesemua koleksi ini direka dengan angka Arab, penanda berbentuk berlian, dan baton tangan gaya juruterbang lengkap dengan Super-LumiNova. 

Selain itu, ciri khas model ini adalah simbol lima bintang yang diletakkan pada dail. Bagi Longines, simbol ini menandakan peningkatan kualiti dan kebolehpercayaan jenamanya yang unggul sebagai jenama berkelas lima bintang.

Longines Spirit Time-And-Date

Image

Model pertama dalam koleksi Longines Spirit ialah jam tangan klasik dengan tiga jarum dan kalendar. 

Menariknya, versi ini tersedia dalam dua diameter iaitu 40 milimeter (mm) dan 42 mm.

Bagi menambah baik keupayaan model ini, Longines menggunakan sistem penggerak moden yang lebih tepat dengan kaliber L888.4 iaitu ETA dipertingkatkan. 

Model ini turut dilengkapi dengan spring keseimbangan silikon, mempunyai kadar getaran lebih perlahan iaitu 25,200 getaran/jam, digabungkan dengan barel kuasa simpanan selama 64 jam. 

Image

Sistem penggerak automatik ini diiktiraf Contrôle Officiel Suisse des Chronomètres (COSC). 

Model ini boleh digayakan sama ada menggunakan tali kulit pin gesper atau dengan gelang keluli tahan karat tiga pautan pin gesper jenis lipat.

Longines Spirit Kronograf

Image

Model kedua dalam koleksi Longines Spirit pula dikenali sebagai edisi kronograf, paling istimewa bagi edisi jam tangan juruterbang yang juga menjadi kepakaran Longines. 

Versi kronograf ini hanya tersedia untuk rekaan bersaiz 42mm sahaja.

Apa yang mengagumkan, model ini dilengkapi sistem penggerak kronograf roda automatik Longines dengan kaliber L688.4 menghasilkan 28,800 getaran/jam, serta ETA yang diubah suai dan peranti 'cam-lever' digantikan dengan sistem roda lajur lebih tepat. 

Sistem penggerak 4Hz ini juga disertakan silikon 'hairspring' dan rantai kinetik yang lebih baik, menghasilkan kuasa simpanan sehingga 60 jam. Ketepatannya juga diperakui oleh COSC. 

Bagi model ini, pengguna juga boleh menggayakannya dengan tali kulit pin gesper atau gelang keluli tahan karat tiga pautan dengan pin gesper jenis lipat.

Ilham daripada juruterbang dan pengembara

Longines dalam kenyataannya berkata, koleksi terbaharu Longines Spirit ini diilhamkan daripada semangat perintis penerbangan dan pengembaraan.

Berdasarkan sejarah, Charles Lindbergh antara juruterbang paling terkenal yang setia menggunakan jam Longines.

Beliau berjaya menamatkan penerbangan solo pertama transatlantik tanpa henti pada 1927 dengan menggunakan jam Longines untuk mencatat rekodnya.

Selain itu, ramai lagi tokoh sejarah penerbangan dan pengembara terkenal yang menggunakan jam Longines dalam ekspedisi mereka seperti Amelia Earhart, Paul-Emile Victor, Elinor Smith dan Howard Hughes.

1. Amelia Earhart

Image

14 jam dan 56 minit - Ini adalah masa yang diambil Amelia Earhart untuk terbang secara solo tanpa henti melintasi Atlantik pada tahun 1932, dengan memakai kronograf Longines miliknya. 

Berkat semangat dan keberaniannya, dia berjaya mengharungi cabaran angin sejuk dan kerosakan mekanikal, sekali gus menjadi wanita pertama yang menghubungkan benua. 

Sebelum itu, pada tahun 1928, Amelia menjadi wanita pertama terbang merentasi ruang udara Atlantik, sebagai juruterbang bersama. 

2. Paul-Emile Victor

Image

Sehingga - 40 darjah Celsius selama 49 hari - Paul-Emile Victor menghabiskan tujuh minggu untuk merentasi gurun ais Greenland pada tahun 1936. 

Walaupun dalam keadaan cuaca buruk, kronometer Longines miliknya terus berfungsi dengan tepat, membantu mengira garis longitud. 

"Jam tangan ini memberi perbezaan antara kegagalan dan kejayaan," kata Victor. Dia mengabadikan seluruh hidupnya untuk ekspedisi kutub.

3. Elinor Smith

Image

32,576 kaki - Pada tahun 1931, juruterbang Amerika, Elinor Smith pengsan sewaktu menerbangkan pesawat pada ketinggian 30,000 kaki. Namun, Smith sedar pada saat-saat akhir dan berjaya mendarat dengan selamat. 

Sepuluh hari kemudian, dia terbang lebih tinggi dan mencatat rekod baru pada ketinggian 32,576 kaki, bergantung pada jam tangan Longines miliknya. 

Bergelar juruterbang berlesen termuda di dunia pada usia 16 tahun, Smith merekod ketahanan, kelajuan, dan ketinggian solo sepanjang hayatnya.

4. Howard Hughes

Image

Tiga hari, 19 jam, 14 minit - Rekod penerbangan dunia Howard Hughes direkodkan Longines pada tahun 1938. 

Warganegara Amerika yang eksentrik ini terkenal dengan minatnya dalam dunia penerbangan dan filem. 

Dia adalah pengguna paling terkenal dari Longines Sidérograph, sebuah peranti 'on-board' untuk navigasi cakerawala yang dipatenkan oleh Longines.

Krew di pesawat Howard Hughes bergantung pada jam kronometer Longines yang ditetapkan pada Greenwich Civil Time dan Greenwich Sidereal Time. 

Mereka juga memakai jam Longines Second-Setting untuk pemerhatian.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai koleksi Longines Spirit, layari pautan ini

Berita Harian X