Selasa, 24 November 2020 | 6:21pm
Gambar fail. Pesawat milik Malaysia Airlines di KLIA, Sepang. - Foto: Samsul Said/Bloomberg
Gambar fail. Pesawat milik Malaysia Airlines di KLIA, Sepang. - Foto: Samsul Said/Bloomberg

Khazanah Nasional pastikan Malaysia Airlines pulih kembali

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan memastikan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) kembali pulih daripada krisis kewangannya ketika ini dan sedang melakukan apa yang perlu sebagai pemegang saham utamanya.

Menteri Kewangan yang juga Ahli Lembaga Pengarahnya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sebagai sayap pelaburan kerajaan itu mempunyai sumber yang mencukupi dalam memastikan Malaysia Airlines terus bertahan.

Beliau berkata, meskipun krisis pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada syarikat penerbangan, namun ia juga dilihat sebagai peluang untuk membina semula industri penerbangan negara termasuk Malaysia Airlines.

Memetik laporan daripada Nikkei Asia, Tengku Zafrul berkata, semua pihak harus sentiasa melihat secara positif terhadap Malaysia Airlines kerana ia adalah simbol identiti nasional yang dapat dibanggakan rakyat Malaysia. 

Ramai yang menentang menyuntik lebih banyak sumber kewangan ke dalam syarikat penerbangan itu kerana berpendapat dana kewangan itu dapat dibelanjakan dengan lebih baik di tempat lain.

"Kita harus melihatnya secara positif dan objektif. Bagi saya, saya yakin mereka (Malaysia Airlines) telah belajar dari masa lalu. Malaysia Airlines dan industri penerbangan adalah komponen utama ekonomi, terutama untuk pelancongan .

"Kita harus memastikan ia berfungsi. Malaysia Airlines adalah jenama nasional. Tetapi yang penting adalah memastikan ia memainkan peranan sebagai syarikat penerbangan nasional," katanya.

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan telah menjalankan perbincangan bersama Khazanah dan meminta mereka untuk memastikan Malaysia Airlines terus berada dalam posisi kuat untuk menyokong pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Berita Harian X