Isnin, 23 November 2020 | 2:33pm
Minggu Saham Digital (MSD) bersiaran setiap hari bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020
Minggu Saham Digital (MSD) bersiaran setiap hari bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020

Minggu Saham Digital dapat sambutan luar jangkaan

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) melakar sejarah tersendiri dalam pelan tranformasinya dengan merombak Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) ke format digital menerusi Minggu Saham Digital (MSD) untuk meningkatkan tahap celik kewangan rakyat di negara ini sejajar dengan perkembangan pesat teknologi dan digital.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata walaupun MSD berlangsung di platform digital, program yang diatur menyeluruh bagi membolehkannya mendekati dan berinteraksi dengan segenap lapisan rakyat dalam semua peringkat umur secara serentak di seluruh negara, berbanding penganjuran MSAM secara fizikal yang hanya dikunjungi masyarakat setempat.

Beliau berkata, MSD diatur padat dengan aktiviti interaktif serta hibur didik untuk membimbing dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan simpanan dan pelaburan.

Katanya, dalam tempoh dua hari MSD berlangsung, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan di luar jangkaan.

"Liputan menerusi platform digital sangat meluas dan kukuh berbanding secara fizikal. Kalau kita buat di bandar, ia mencecah 100,000 hingga 200,000 (pengunjung).

"Namun kini, kami mampu mencapai angka itu dengan mudah, sekali gus menunjukkan kuasa internet dan digital," katanya kepada BH dan NST dalam temu bual secara dalam talian, baru-baru ini.

MSD bersiaran setiap hari bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

Penonton dapat menyaksikan pelbagai program hibur didik dengan topik kewangan, pelaburan, keusahawanan dan ekonomi, seperti Cikgu CEO, Makan Dulu, Sembang-Sembang ASNB dan ASB-Iclif MBA Masterclass Series.

Sepanjang minggu, MSD juga mengadakan sesi Khidmat Nasihat 1-1 untuk orang awam dan pemegang unit untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelaburan mereka.

Mengulas pelan hala tuju teknologi maklumat (IT) lima tahun PNB, Ahmad Zulqarnain, berkata pelan itu dilaksanakan untuk memperkemas dan mempertingkatkan sistem IT supaya operasi dalamannya lebih mantap dan berkesan dan pada masa sama mempermudahkan interaksi dengan pemegang unit serta masyarakat secara keseluruhan.

Beliau berkata, menuju ke depan, PNB akan melabur lebih RM200 juta sebagai sebahagian pelan hala tuju IT yang dilaksanakannya itu.

Katanya, mandat PNB adalah menjadikan pelaburan sangat mudah bagi Bumiputera dan rakyat Malaysia, yang mana pelaburan

boleh dibuat dengan membuka akaun serendah RM10.

Berita Harian X