Jumaat, 20 November 2020 | 7:08pm
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek. - Foto: BERNAMA
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek. - Foto: BERNAMA

MCMC: Tender lokasi menara telekomunikasi projek JENDELA dibuka, RM4.6 bilion

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempercepatkan pembukaan tender fasa pertama Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai RM4.6 bilion yang mana boleh dibida bermula hari ini sehingga 31 Mac 2021.

Tender berkenaan membabitkan pembinaan 1,661 lokasi bagi menara telekomunikasi di seluruh negara, yang mana pembayarannya bergantung kepada tahap pelaksanaannya.

Ia dalam usaha menyegerakan pelaksanaan projek JENDELA bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara.

Pengerusi MCMC, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata MCMC juga akan memastikan Fasa Pertama akan disempurnakan pada tahun ini atau selewatnya pertengahan 2022 berbanding sasaran awal pada akhir 2022.

MCMC katanya membuka penyerahan draf rancangan untuk jalur lebar bagi 1,661 lokasi menara telekomunikasi baharu dibawah Fasa Pertama JENDELA. "Jumlah itu adalah bagi 1,661 lokasi menara telekomunikasi.

Setiap lokasi akan mempunyai bilangan menara yang berbeza bergantung kepada kerja yang diperlukan berdasarkan keadaan muka bumi, bilangan penduduk serta keperluan lain," katanya dalam taklimat khas MCMC secara maya hari ini.

Fadhlullah berkata, keperluan akses bagi mendapatkan liputan perkhidmatan komunikasi adalah perkara penting ketika ini disebabkan pandemik COVID-19 kepada rakyat dan juga industri.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada melebarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk.

Pada masa sama katanya, MCMC juga sudah menarik balik tender yang dikemukakan untuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 2).Pada 29 Ogos lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan JENDELA membabitkan kos sebanyak RM21 bilion, yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa satu yang sudah bermula akan memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25 Mbps kepada 35 Mbps serta membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

Ia juga akan membabitkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

Sementara itu, fasa dua membabitkan peralihan kepada 5G, selepas platform kukuh dalam fasa satu dapat dicapai, selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Mengulas lanjut, Fadhlullah berkata, daripada 1,661 lokasi untuk menara telekomunikasi yang dikenal pasti oleh MCMC, 1,020 atau 61 peratus adalah di Labuan, Sabah dan Sarawak, sementara 641 atau 39 peratus terletak di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, 78.75 peratus atau 1,308 lokasi terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, MCMC juga terus mengadakan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri bagi memastikan inisiatif kerajaan melalui JENDELA ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang permasalahan.

"Perbincangan dengan kerajaan negeri adalah satu proses yang berterusan. Saya sudah membentangkan kepada beberapa kerajaan negeri beberapa hari yang lalu seperti Melaka dan Johor serta Kelantan tidak lama lagi.

"Penting bagi kerajaan negeri memahami hala tuju JENDELA ini yang memberi manfaat bukan saja untuk rakyat tapi industri serta ekonomi negeri.

"MCMC hanya memberi panduan dan keputusan memberi kebenaran masih terletak di tangan kerajaan negeri. Perkara ini perlu cepat dilaksanakan kerana jika tidak kemasukan pelaburan ke negeri akan tergendala dan merugikan negeri itu sendiri," katanya.

Fadhlullah berkata, MCMC juga menyambut baik peruntukan kerajaan dalam Belanjawan 2021 sebanyak RM9.4 bilion untuk untuk membangunkan strategi digital nasional yang holistik merentasi sektor industri dan rakyat.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan hasrat menjadikan internet sebagai utiliti ketiga sama seperti kemudahan air dan elektrik.

Belanjawan 2021 katanya memberikan tumpuan khusus kepada usaha-usaha untuk merapatkan jurang digital dan menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik dengan adanya Program Jaringan PRIHATIN dan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Program Jaringan PRIHATIN akan memanfaatkan lapan juta golongan B40, mengurangkan beban kewangan mereka dalam mendapatkan kemudahan internet.

Di bawah pelan JENDELA pula, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi 2021 bertujuan untuk memastikan kesalinghubungan kepada 430 buah sekolah di seluruh negara.

Sejumlah RM42 juta turut diperuntukkan bagi menambah baik kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian untuk meningkatkan daya tarik pelaburan di bawah pelan yang sama.

MCMC pula akan memperuntukkan sebanyak RM7.4 billion bagi 2021 dan 2022 dalam memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar.

Pihak industri pula, juga akan membuat pelaburan yang setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar.

Berita Harian X