Selasa, 17 November 2020 | 5:33pm
eslite Group akan menjadi penyewa utama di The Starhill - Foto ihsan YTL
eslite Group akan menjadi penyewa utama di The Starhill - Foto ihsan YTL

Sektor peruncitan berupaya kembali pulih

KUALA LUMPUR: Sektor peruncitan dijangka kembali pulih dan dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu susulan penularan pandemik COVID-19.

Naib Presiden YTL Land and Development Bhd, Joseph Yeoh, berkata pemulihan bagaimanapun sukar dijangka untuk satu tempoh waktu tertentu kerana bergantung kepada situasi semasa pandemik di peringkat global, terutama Malaysia sendiri.

"Namun, apa yang pasti sektor runcit sudah dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu termasuk pelaksanaan beberapa langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"YTL sendiri mempunyai sembilan pusat membeli belah di seluruh dunia, dan kami yakin sektor runcit akan kembali pulih. Diharapkan pandemik ini akan berakhir dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian penyewaan antara YTL dengan eslite Group, hari ini.

Yeoh berkata, sektor peruncitan mewah antara yang terus bertahan kerana berdasarkan data di China, selepas pandemik COVID-19 mencatatkan penurunan, segmen peruncitan mewah melonjak sehingga dua kali ganda.

Lantaran itu, katanya, YTL optimis bahawa pusat beli belahnya, The Starhill akan terus mencatatkan peningkatan pengunjung dan penyewa.

Beliau berkata, YTL juga sudah menerima penyewaan daripada beberapa jenama mewah antarabangsa termasuk eslite Group, jenama runcit popular dari Taiwan.

"Walaupun COVID-19 menjadi kerisauan utama ketika ini, tetapi segmen peruncitan mewah tetap menjadi pilihan kerana orang ramai masih mahukan produk berkualiti tinggi.

"Justeru, The Starhill yang bakal dibuka semula pada suku pertama 2021 akan menjadi penanda aras kepada segmen peruncitan mewah," katanya.

Yeoh berkata, kedatangan eslite Group juga sudah membuktikan Malaysia masih menjadi tumpuan kepada jenama antarabangsa untuk hadir dalam pasaran tempatan.

Beliau berkata, eslite Group akan menjadi penyewa utama The Starhill dan syarikat itu akan melancarkan kedai buku 24 jam

pertama di dunia pada 2022, sekali gus turut menjadi menjadi cawangan eslite pertama di Asia Tenggara

"Kehadiran eslite spectrum sebagai penyewa utama merealisasikan cita-cita kumpulan untuk mewujudkan sebuah perpustakaan gaya hidup.

"Aspirasi mereka menepati ciri The Starhill dalam mewujudkan destinasi sosial premium terulung di Kuala Lumpur untuk semua meraikan acara kesusasteraan, kesenian, fesyen, reka cipta, muzik, makanan dan kreatif," katanya.

Berita Harian X