Khamis, 12 November 2020 | 5:56pm
Pengarah Urusan Serantau Shopee Malaysia, Ian Ho. - NSTP/ AZIAH AZMEE
Pengarah Urusan Serantau Shopee Malaysia, Ian Ho. - NSTP/ AZIAH AZMEE

Penjual baharu catat peningkatan jualan 10 kali ganda

KUALA LUMPUR: Shopee berjaya mencipta impak besar di 11.11 Jualan Hebat apabila penjual di rantau ini yang menyertai acara berkenaan buat kali pertama merekodkan peningkatan pesanan sebanyak 10 kali ganda berbanding hari biasa.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Malaysia, Ian Ho, berkata jualan seharian menerusi platformnya menyaksikan lonjakan aktiviti membeli-belah di mana kira-kira 3,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) Malaysia mencatat purata jualan sebanyak RM55,000.

"Seperti yang dijangka, negeri utama seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mencatat aktiviti membeli-belah yang tinggi dengan 650,000 barangan dijual dalam masa satu jam di Selangor pada kemuncak 11 November.

"Kami melihat tahap keyakinan dan kepercayaan terhadap membeli-belah atas talian meningkat di mana jumlah transaksi terbesar oleh seorang pengguna di platform dalam masa lapan jam pertama semasa acara membeli-belah atas talian ini berjumlah RM70,000," katanya dalam satu kenyataan.

Ho berkata, melihat trend pengguna dan prestasi perniagaan tempatan, tidak dapat dinafikan bahawa e-dagang mempunyai potensi untuk memberi impak positif kepada komuniti Shopee.

Katanya, kejayaan yang dicapai Shopee mencerminkan pertumbuhan e-dagang yang berterusan di rantau ini dan peluang luas yang ditawarkan kepada perniagaan dan pembeli.

"Acara membeli-belah seperti 11.11 Jualan Hebat juga membolehkan kami mencabar batas inovasi, memperkenalkan ciri dan inisiatif baharu untuk memperkasakan dan menjadi pemboleh kepada jenama, peruncit dan penjual ketika mereka merancakkan usaha ke arah pemulihan dalam keadaan ekonomi semasa," katanya.

"Aktiviti membeli-belah melonjak semasa 11.11 Jualan Hebat dengan orang ramai beralih ke Shopee untuk mendapatkan tawaran terbaik daripada jenama dan penjual kegemaran mereka, sambil menikmati pengalaman membeli-belah yang mudah melalui ekosistem Shopee.

"Kami akan terus mengorak langkah ke hadapan berpandukan visi kami agar mereka dapat memperoleh manfaat daripada e-dagang tidak kira siapa mereka dan di mana mereka berada. Kami berharap untuk mengakhiri tahun ini dengan penuh bermakna melalui acara penutup kami yang kian menjelang, iaitu 12.12 Birthday Sale," katanya.

Sementara itu, Shopee berkata, pencapaian yang diraih sepanjang 11.11 Jualan Hebat menepati visinya untuk menjadikan platform e-dagang untuk semua.

"Dikuasai oleh sokongan padu daripada pengguna dan perniagaan di setiap daripada tujuh pasarannya, Shopee menyaksikan momentum jualan kukuh sepanjang hari, seterusnya mempertingkatkan perniagaan di rantau ini di samping membawa keseronokan kepada pengguna.

"Di rantau ini, para penjual yang mengambil bahagian dalam 11.11 Jualan Hebat buat kali pertama menyaksikan peningkatan pesanan sebanyak 10 kali ganda berbanding hari biasa, dengan Shopee membuka peluang baharu untuk usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Shopee berkata, menerusi 11.11 Jualan Hebat, platform itu turut menyaksikan lebih 20 juta jam penstriman langsung ditonton di Shopee Live, manakala permainan dalam aplikasi Shopee dimainkan lebih daripada 2.5 bilion kali.

Berita Harian X