Jumaat, 6 November 2020 | 9:04pm
Pekerja swasta, Amirnor Azrin Amirudin (kanan) bersama adiknya, Amirnor Khairi Amirudin menonton pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat - Foto BERNAMA
Pekerja swasta, Amirnor Azrin Amirudin (kanan) bersama adiknya, Amirnor Khairi Amirudin menonton pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat - Foto BERNAMA

Insentif Belanjawan 2021 sokong pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR: Peruntukan dan insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 adalah menyeluruh dan prihatin rakyat serta menepati jangkaan pasaran dalam mengurangkan beban rakyat dan terus menyokong pemulihan ekonomi dalam menangani impak negatif penularan COVID-19, kata penganalisis.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata kekuatan Belanjawan 2021 terletak pada penumpuannya dalam mengurangkan kesusahan rakyat akibat daripada impak pandemik COVID-19.

Beliau berkata, ia khususnya kepada golongan B40 dan M40 serta berita baik bagi mereka yang memerlukan, yang mana kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak maksimum RM6,000 atau RM500 sebulan.

Selain itu, katanya, skim Bantuan Sara Hidup (BSH) juga diperkasakan dengan skim lebih komprehensif, iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang memberikan bantuan lebih banyak dan mencakupi lebih ramai rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Walaupun moratorium tidak dilakukan secara automatik, namun, kerajaan begitu prihatin dengan memberikan opsyen kepada golongan B40. Ini adalah satu permulaan yang baik.

"Program baucar perlindungan Tenang juga adalah satu program yang baik. Takaful hayat ini semestinya sangat membantu kepada golongan B40," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai Belanjawan 2021.

Dalam konteks yang lebih luas, Dr Irwan berkata, bantuan dan insentif yang diberikan kepada golongan rentan juga adalah satu keputusan tepat, terutama apabila garis kemiskinan (PGK) telah dikemaskini.

Beliau berkata, peningkatan bantuan kepada petani, peladang, nelayan juga dialu-alukan, selain penumpuan khusus diberikan kepada golongan wanita dan juga belia.

"Secara keseluruhan, ini adalah belanjawan yang prihatin rakyat dan menumpukan dasar yang begitu bersasar terutamanya kepada golongan B40 dan juga M40," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata Belanjawan 2021 memberi tumpuan kepada rakyat secara umumnya dan pada masa sama mengekalkan kestabilan ekonomi makro.

Beliau berkata, peruntukan dan insentif yang diumumkan adalah yang terbaik kerajaan Malaysia mampu lakukan di tengah-tengah ketidaktentuan yang dicetuskan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Katanya, belanjawan yang menyeluruh akan memantapkan usaha kerajaan untuk menstabilkan ekonomi negara yang terkesan akibat impak negatif yang dicetuskan pandemik.

"Kami jangka tinjauan ekonomi Malaysia akan kekal stabil untuk jangka panjang dan Malaysia akan terus menjadi perhatian pelabur asing.

"Kerajaan membentangkan belanjawan yang sejajar dengan jangkaan pasaran dan boleh disifatkan belanjawan mesra pelabur dan prihatin rakyat," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Zulaikha Azmi, berkata secara keseluruhan Belanjawan 2021 menyeluruh dan bersifat pengembangan.

Beliau berkata, antara yang baik adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberi penekanan, pemerkasaan sektor berteknologi tinggi dan insentif kepada syarikat luar untuk berpindah ke Malaysia.

Katanya, peranan lebih tinggi juga oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk penyampaian perkhidmatan sosial dan kesihatan mental dan golongan yang memerlukan turut diberi penekanan.

Berita Harian X