Rabu, 4 November 2020 | 2:19pm
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto Bloomberg
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto Bloomberg

OPR kekal beri laluan belanjawan pengembangan

KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus ialah untuk memberi laluan kepada Belanjawan 2021, demikian menurut Maybank Investment Bank Bhd Research (Maybank IB Research).

Ia berkata, belanjawan itu yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Jumaat, dijangka kekal sebagai belanjawan pengembangan, dengan unjuran defisit RM90 bilion atau 6.0 peratus daripaa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding unjuran RM95 bilion atau 6.7 peratus daripada KDNK pada 2020.

"BNM mengekalkan OPR pada 1.75 peratus untuk dua mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) berturut-turut bagi menjaga ruang dasar monetari," katanya dalam satu nota.

Maybank IB Research berkata, keputusan BNM juga konsisten dengan petunjuk bahawa kemelesetan ekonomi semakin berkurangan selepas kemerosotan KDNK pada April atau suku kedua 2020 (-17.1 peratus), yang menyokong unjuran KDNK sebenar rasmi pada masa ini iaitu antara +5.5 peratus hingga +8.0 peratus pada 2021, selepas mencatatkan -3.5 peratus hingga -5.5 peratus pada 2020.

Selain daripada OPR dikekalkan, firma penyelidikan itu turut maklum bahawa penggunaan instrumen dasar monetari yang lain untuk meningkatkan kecairan dan memberikan bantuan kelegaan kepada ekonomi telah meruncing, justeru, mengurangkan keperluan untuk campur tangan dasar monetari melalui pemotongan OPR dan/atau langkah-langkah kecairan.

"Ini termasuk memperlahankan pembelian Sekuriti Kerajaan Malaysia oleh BNM, peralihan kepada lanjutan moratorium pinjaman bersasar dan pembayaran pinjaman fleksibel selepas berakhirnya tempoh pinjaman moratorium automatik daripada April hingga September 2020, katanya.

Buat masa ini, Maybank IB Research menjangkakan OPR akan kekal pada 1.75 peratus sehingga akhir 2021, tetapi akan terus melihat ini sebagai 'dovish pause' di celah-celah tinjauan risiko penurunan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan dasar monetari baru-baru ini.

Sementara itu, AmBank Group mengulangi bahawa tinjauan pertumbuhan KDNK 2020 ialah pada -3.6 peratus hingga -5.6 peratus, hampir dengan sasaran pertumbuhan BNM pada -3.5 peratus hingga -5.5 peratus selepas bank pusat itu mengekalkan OPR pada 1.75 peratus.

Ketua Ekonomi dan penyelidikannya, Dr Anthony Dass menjangkakan pakej rangsangan fiskal yang besar (PRIHATIN, PRIHATIN SME+, PENJANA dan KITA PRIHATIN) bernilai RM305 bilion atau 21 peratus daripada KDNK, seharusnya dapat membantu menyokong ekonomi domestik.

BNM pada mesyuarat MPC yang terakhir untuk tahun ini, mengambil keputusan mengekalkan OPR pada 1.75 peratus, menjadikan penurunan kadar secara kumulatif untuk tahun 2020 kepada 125 mata asas.

Ini juga kali kedua berturut-turut bank pusat membiarkan kadar dasar itu tidak berubah, dengan sembilan daripada 17 ahli ekonomi meramalkan tiada penurunan kadar.

-BERNAMA

Berita Harian X