Isnin, 2 November 2020 | 7:37pm
Pembuat kenderaan mempercepatkan pelan pelancaran kenderaan elektrik (EV) - Foto hiasan
Pembuat kenderaan mempercepatkan pelan pelancaran kenderaan elektrik (EV) - Foto hiasan

Jualan kenderaan EV semakin meningkat

KUALA LUMPUR: Pasaran automotif menyaksikan peningkatan jualan kenderaan elektrik (EV), EV bateri dan EV hibrid 'plug-in' yang kukuh walaupun permintaan terhadap kenderaan susut berikutan pandemik COVID-19, demikian menurut Petronas Lubricants International (PLI).

Cabang pembuatan dan pemasaran minyak pelincir global PETRONAS itu berkata, aliran ke arah elektrifikasi barangan dan pengangkutan dijangka merekodkan peningkatan ketara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLI, Giuseppe D'Arrigo, berkata pandemik telah mengubah ekonomi dan perniagaan di seluruh dunia di samping beroperasi dalam persekitaran baharu yang sukar.

"Walaupun perubahan boleh menjadi cabaran, kami di PLI percaya dengan komitmen kami dan melihat cabaran ini sebagai peluang untuk terus memacu penyelesaian baharu dan berusaha lebih daripada kelaziman.

"Inovasi produk kami didorong oleh satu piawaian iaitu kemampanan, dan ini mendorong PLI untuk terus memanfaatkan penyelesaian teknologi bendalir kami yang berbeza bagi mengembangkan sektor e-mobiliti demi masa depan yang lebih bersih dan lestari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, industri minyak dan gas mengakui keperluan segera untuk melakukan usaha berkaitan saranan dan perkembangan iklim menerusi teknologi untuk kemajuan e-mobiliti.

Ketika Webinar Bendalir EV oleh PLI yang diadakan baru-baru ini itu, peserta daripada Rimac Automobili, Elizabeta Žalac, berkata walaupun pembuat kenderaan mempercepatkan pelan pelancaran EV disebabkan sasaran pengawalseliaan pelepasan yang ketat dan amat mencabar namun COVID-19 menyebabkan kelewatan pembangunan elektrifikasi, mobiliti bersama dan pemanduan tanpa pemandu.

Beliau berkata gangguan itu akan memberi kesan kepada industri pada 2021.

"Penurunan jualan kenderaan sememang dijangkakan sebelum meningkat kembali pada 2022, ketika pasaran mungkin mencapai titik penting memandangkan prestasi pek bateri terus meningkat, dan lebih penting, infrastruktur pengecasan dibangunkan," katanya.

Webinar Bendalir EV selama 90 minit itu dihadiri oleh 150 peserta merangkumi pakar terkemuka industri, rakan kongsi pembuat peralatan tulen, ahli akademik dan pembekal dari seluruh dunia untuk mewujudkan perbincangan dalam memajukan teknologi bendalir bagi masa depan e-mobiliti.

-BERNAMA

Berita Harian X