Rabu, 14 Oktober 2020 | 4:12pm
Isi rumah terus mengekalkan paras selesa aset kewangan - Foto BERNAMA
Isi rumah terus mengekalkan paras selesa aset kewangan - Foto BERNAMA

Isi rumah berdaya tahan hadapi impak COVID-19

KUALA LUMPUR: Kebanyakan isi rumah di negara ini dijangka kekal berdaya tahan walaupun penularan COVID-19 memberi kesan terhadap pendapatan dan prospek pekerjaan, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, isi rumah terus mengekalkan paras selesa aset kewangan dan aset kewangan cair (LFA) masing-masing pada 2.2 kali dan 1.4 kali berbanding hutang, berikutan bantuan yang diperkenalkan kerajaan dan suntikan tunai tambahan kepada isi rumah.

Deposit isi rumah mencatatkan pertumbuhan tahunan kukuh sebanyak 7.0 peratus setakat akhir Jun 2020 berbanding 4.6 peratus pada 2019, demikian menurut Tinjauan Kestabilan Kewangan - Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan oleh bank pusat hari ini.

Sementara itu, BNM berkata, pertumbuhan hutang isi rumah menyederhana kepada 4.0 peratus di tengah-tengah kawalan pergerakan dan belian yang rendah susulan isi rumah menjadi lebih berhati-hati, yang dicerminkan menerusi pertumbuhan pinjaman lemah bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan bermotor pada separuh pertama 2020.

Walaupun pertumbuhan hutang yang perlahan, ia berkata, nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) isi rumah meningkat melepasi kemuncak sebelum ini 86.9 peratus pada 2015 kepada 87.5 peratus setakat Jun 2020 berikutan penguncupan mendadak dalam KDNK nominal pada suku kedua.

Namun begitu, katanya, nisbah itu dijangka berkurangan susulan pemulihan aktiviti ekonomi dan isi rumah secara beransur-ansur memulakan pembayaran balik pinjaman.

"Walaupun paras hutang isi rumah kekal tinggi, isi rumah secara umumnya masih meminjam dalam kemampuan mereka dengan dicerminkan oleh nisbah pembayaran hutang (DSR) median secara keseluruhan bagi baki dan pinjaman baharu diluluskan, masing-masing 35 peratus dan 43 peratus," katanya.

BNM berkata, kebanyakan isi rumah di negara ini juga mampu bertahan dengan kejutan melampau pasaran ekuiti seperti yang dialami semasa Krisis Kewangan Asia kerana pelaburan dibiayai oleh lebihan rizab tunai dan bukan pinjaman.

Bank pusat berkata, perkembangan ketara pada separuh pertama 2020 adalah peningkatan penyertaan runcit dalam pasaran ekuiti yang menyaksikan pelabur runcit membeli saham syarikat tersenarai bernilai RM113.1 bilion.

"Pemantauan kami menunjukkan peningkatan penyertaan runcit tidak dibiayai pinjaman. Pinjaman yang dikeluarkan dan tertunggak bagi pembelian saham, termasuk pembiayaan margin, masih kekal rendah dan stabil semasa tempoh ini," kata BNM.

BNM menjelaskan, pinjaman itu terus menyumbang kepada sebahagian kecil jumlah hutang isi rumah (0.5 peratus) dan pinjaman bank kepada isi rumah (0.6 peratus).

"Tidak ada perubahan ketara dalam profil peminjam isi rumah dengan kemudahan margin saham, kerana kebanyakannya kekal dalam segmen pendapatan tinggi dengan penampan kewangan yang besar," katanya.

Berita Harian X