Khamis, 8 Oktober 2020 | 5:40pm
Imbuhan diterima ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam susut 11.7 peratus tahun lalu - Foto hiasan
Imbuhan diterima ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam susut 11.7 peratus tahun lalu - Foto hiasan

Lembaga pengarah firma disenarai terima imbuhan lebih rendah

KUALA LUMPUR: Jumlah imbuhan diterima ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam susut sebanyak 11.7 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat tahunan (CG Monitor 2020) mendedahkan imbuhan pengarah eksekutif turun sebanyak 14.5 peratus, namun imbuhan pengarah bukan eksekutif meningkat sebanyak 6.2 peratus tahun lalu.

"Walaupun penggunaan proses pengundian dua peringkat untuk mengekalkan pengarah bebas yang telah lama berkhidmat meningkat, masih ada sebilangan besar pengarah bebas yang tempoh perkhidmatannya antara 20 hingga 40 tahun," kata laporan itu.

SC berkata, ia turut menggalakkan syarikat lebih kecil menggunakan pendekatan lebih telus dengan mengemukakan imbuhan pengurusan kanan mengikut nama.

"Pendedahan kualiti dan ketelusan akan membolehkan pihak berkepentingan mendapat pemahaman mendalam mengenai rangka kerja tadbir urus korporat dan amalan yang menyokong perniagaan menjadi lebih mampan serta berkembang terutama ketika tempoh mencabar ini," katanya.

Sementara itu, laporan CG Monitor itu turut mendapati kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah syarikat senaraian awam menunjukkan sedikit peningkatan kepada 24.82 peratus setakat 31 Ogos lalu berbanding 23.68 peratus pada 2018 dalam kalangan 100 syarikat awam terbesar.

Kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah semua syarikat senaraian awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah 16.96 peratus.

Ketika ini, terdapat lima syarikat yang membariskan ahli lembaga pengarah lelaki dalam senarai 100 syarikat utama iaitu Comfort Glove Bhd, Focus Dynamics Group Bhd, Frontken Corporation Bhd, Guan Chong Bhd dan Pentamaster Corporation Bhd.

Laporan CG Monitor 2020 juga mendapati lebih banyak syarikat senaraian awam Malaysia mempraktikkan amalan terbaik yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya.

SC berkata, bahagian yang menunjukkan peningkatan adalah amalan 'Step Up' iaitu proses pengundian dua peringkat dan amalan lembaga pengarah dalam menentukan imbuhan pengarah serta pengurusan kanan.

Berita Harian X