Jumaat, 25 September 2020 | 3:56pm
 Bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. - Foto: NSTP/Rohanis Shukri.
Bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. - Foto: NSTP/Rohanis Shukri.

Malaysia kekal dalam senarai pemantauan FTSE WGBI

KUALA LUMPUR: Malaysia akan kekal dalam senarai pemantauan penyedia Indeks Bon Kerajaan Global (WGBI) FTSE Russell, bagaimanapun arasnya diturunkan dari Kebolehcapaian Pasaran Tahap 2 kepada Tahap 1.

FTSE Russell dalam satu kenyataan, berkata ia mengiktiraf inisiatif tambahan yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 12 bulan lalu bagi meningkatkan aksesibiliti pasaran bon kerajaan kepada pelabur.

"Peningkatan pasaran merangkumi pemulihan kecairan bon pasaran sekunder menerusi kemajuan berterusan dalam penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang, Kalendar Lelong yang lebih baik yang menawarkan lebih banyak pembukaan semula terbitan sebelum ini dan sebahagian besar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) tersedia melalui repo.

"Pengukuhan penerbitan bon bagi meningkatkan saiz tertunggak bagi setiap penerbitan dan mengurangkan jumlah penerbitan serta langkah memperkenalkan niaga hadapan MGS dengan penghantaran fizikal juga menunjukkan wujudnya pengukuhan pasaran Malaysia," katanya.

April lalu, FTSE Russell mengekalkan bon kerajaan Malaysia dalam senarai pemantauannya untuk mengkaji kemungkinan mengeluarkan negara ini daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE.

Penyedia indeks berkenaan mengiktiraf inisiatif BNM untuk meningkatkan akses pelabur asing ke dalam pasaran bon kerajaan.

FTSE Russell menegaskan, langkah meningkatkan struktur pasaran pertukaran asing dengan menjadikan program Pejabat Luar Negeri yang dilantik (AOO) secara kekal, disambut baik penyedia indeks itu.

"Program AOO membolehkan bank custodian tempatan Jepun melaksanakan pertukaran asing pihak ketiga dan lindung nilai dinamik, selain bertindak menyelaras dokumentasi tukaran asing dan proses ketekunan wajar," katanya.

Penyedia indeks itu berkata, ia akan terus bekerjasama dengan jawatankuasa penasihat dan pihak berkepentingan lain dalam tempoh enam bulan akan datang bagi menentukan peningkatan praktikal yang wujud daripada inisiatif BNM.

"Ia semestinya akan meningkatkan pengalaman peserta antarabangsa dalam pasaran pendapatan tetap Malaysia," katanya.

Pasaran saham memberi respons positif terhadap pengumuman itu apabila indeks penanda aras, FBM KLCI melonjak 8.1 mata atau 0.54 peratus kepada 1,508.9 pada tengahari tadi.

Mengulas mengenainya, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tinjauan FTSE Russell setakat September 2020 itu akan menyaksikan pelabur institusi yang melabur dalam pasaran instrumen pendapatan tetap dijangka mengekalkan pegangan dan pendedahan dalam bon kerajaan Malaysia.

Katanya, penggunaan indeks berkenaan untuk pelabur institusi adalah bertujuan dijadikan penanda aras portfolio mereka terutama bagi mengukur prestasi dana pelaburan.

"Bagi pelabur pasif, portfolio pelaburan mereka akan cenderung untuk mengikut komposisi indeks ini. Harus diingat juga, terdapat pelbagai indeks lain yang ditawarkan oleh institusi yang lain bagi mengukur prestasi pasaran pendapatan tetap.

"Cuma dalam hal ini, FTSE Russell adalah indeks utama dan dikira arus perdana dalam dunia pelaburan pasaran pendapatan tetap. Bagi pelabur yang agresif, berkemungkinan mereka tidak mengikut komposisi indeks ini sepenuhnya kerana mempunyai pandangan yang berbeza terhadap negara yang mereka melaburkan," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, kesan pengkelasan Kebolehcapaian Pasaran dari 2 ke 1 bermakna bon kerajaan Malaysia dijangka digugurkan dari indeks berkenaan.

Justeru, katanya, pelabur yang membentuk portfolio pelaburan mengikut acuan indeks itu ini bakal melakukan imbangan semula terhadap portfolio mereka.

"Dengan kata lain, mereka ini bakal menjual pegangan mereka dalam bon kerajaan Malaysia berikutan penarafan yang diturunkan dari 2 ke 1.

"Bagi saya, kerajaan tidak perlu gusar dengan penarafan ini. Kerajaan perlu fokus kepada agenda pembangunan dan reformasi kepada ekonomi dan institusi yang mana sekiranya berjaya, ia akan memberikan suatu lonjakan keyakinan kepada ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X