Selasa, 22 September 2020 | 12:11pm
Pergerakan mengukuh ringgit menggambarkan bon kerajaan Malaysia bakal dikekalkan dalam WGBI - Foto Bloomberg
Pergerakan mengukuh ringgit menggambarkan bon kerajaan Malaysia bakal dikekalkan dalam WGBI - Foto Bloomberg

Ringgit mengukuh, Malaysia dijangka kekal dalam WGBI

Malaysia dijangka kekal berada dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) apabila FTSE Russell mengumumkan semakan semula kedudukan negara pada Khamis ini berdasarkan beberapa petunjuk semasa, demikian menurut pandangan penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan pergerakan ringgit yang kian mengukuh, ia seolah-olah menggambarkan bon kerajaan Malaysia bakal dikekalkan dalam WGBI.

Di samping itu, beliau berkata, pegangan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) meningkat kepada 39.2 peratus pada Ogos berbanding 35.8 peratus pada April 2020.

Justeru, katanya, tanda bahawa bon kerajaan Malaysia akan dikekalkan dalam WGBI semakin jelas kelihatan.

"bagaimanapun, sekiranya bon kerajaan Malaysia digugurkan daripada WGBI, mungkin terdapat apa yang dikatakan sebagai 'pengimbangan semula portfolio' dengan pengurus dana akan mengurangkan pegangan mereka dalam bon Kerajaan Malaysia supaya ia selaras dengan kedudukan portfolio WGBI.

"Dengan kata lain, mungkin terdapat aktiviti jualan di pasaran bon Kerajaan Malaysia yang akan menyebabkan kenaikan kadar pulangan atau hasil, malah ringgit juga bakal terkesan akibat perubahan portfolio itu," katanya kepada BH.

Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, pula berkata berdasarkan beberapa petunjuk, pihaknya berpendapat ada kebarangkalian yang tinggi bahawa Malaysia kekal dalam indeks berkenaan.

Beliau berkata, antara petunjuknya ialah tiada peningkatan mendadak kepada hasil bon terbitan Kerajaan Malaysia yang mencadangkan bahawa Malaysia mungkin akan kekal di dalam indeks berkenaan.

Bagaimanapun, tegasnya dalam senario sekiranya Malaysia terkeluar daripada indeks itu, MIDF Research menjangkakan berlaku tekanan penjualan kepada bon Malaysia daripada pelabur asing dalam jangka pendek.

"Namun, kami berpendapat, situasi kembali pulih memandangkan pelabur mengambil kira kemungkinan berlaku senario itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berpandangan, sebarang keputusan FTSE Russell terhadap kedudukan Malaysia dalam WGBI tidak mempunyai kesan ketara kepada pasaran tempatan.

Baginya, pelabur menilai Malaysia dari segi kestabilan ekonomi makro, peserta penting dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), tenaga kerja produktif dan pasaran yang stabil.

Tambahan lagi, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranannya dengan baik dan berhemat dalam menjamin kestabilan pasaran kewangan negara.

"BNM akan memainkan peranannya. Pelabur global seperti Juwai IQI dan banyak lagi mempunyai keyakinan terhadap tinjauan dasar BNM," katanya.

Dalam kemas kini interim pada Mac lalu, FTSE Russell mengekalkan bon Kerajaan Malaysia dalam senarai pemantauannya untuk mengkaji kemungkinan mengeluarkan negara ini daripada WGBI.

Namun, penyedia indeks berkenaan mengiktiraf inisiatif BNM untuk meningkatkan akses pelabur asing ke dalam pasaran bon kerajaan.

Ia berkata, usaha untuk merangsang kecairan pasaran sekunder termasuk kerja untuk menubuhkan pejabat pengurusan hutang, kalendar lelong lebih baik yang menawarkan lebih banyak pembukaan semula sebelum terbitan dan jumlah besar sekuriti kerajaan yang tersedia menerusi repo.

Lazimnya, FTSE Russell akan menyediakan kemas kini interim pada Mac, tetapi sebarang perubahan kepada klasifikasi negara yang menunjukkan penghakiman FTSE Russell mengenai akses pasaran untuk kemasukan indeks, hanya dilaksanakan pada semakan pada September.

Berita Harian X