Selasa, 25 Ogos 2020 | 1:21pm
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Noh Omar (tengah) menyerahkan replika cek kepada Pengarah Urusan Mimoo Act Sdn Bhd, Wan Nilam Wan Wook (dua dari kiri) pada sidang media. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sdn Bhd, Izwan Zainuddin (dua dari kanan), Pengarah Mimoo Act Adn Bhd, Wan Khairie Wan Nilam (kiri) dan Wan Mohd Khazul Wan Nilam (kanan). - NSTP/Owee Ah Chun
Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Noh Omar (tengah) menyerahkan replika cek kepada Pengarah Urusan Mimoo Act Sdn Bhd, Wan Nilam Wan Wook (dua dari kiri) pada sidang media. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sdn Bhd, Izwan Zainuddin (dua dari kanan), Pengarah Mimoo Act Adn Bhd, Wan Khairie Wan Nilam (kiri) dan Wan Mohd Khazul Wan Nilam (kanan). - NSTP/Owee Ah Chun

PUNB perkenal bantuan pembiayaan PKS Bumiputera, RM200 juta

SHAH ALAM: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperkenalkan inisiatif khas bantuan dana kepada usahawan Bumiputera yang dikenali sebagai 'Bumiputera Relief Financing' (BRF) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan kesan ekonomi ekoran penularan pandemik COVID-19.

BRF berjumlah RM200 juta itu adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Memperincikan perkara itu Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar, berkata PKS yang layak sudah boleh memohon pembiayaan khas itu mulai hari ini melalui PUNB sebagai pihak pelaksana.

Beliau berkata, BRF menawarkan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi memastikan kemampuan dan kestabilan PKS Bumiputera khususnya untuk kembali pulih serta dapat menyesuaikan dengan model perniagaan baru.

"Pembiayaan ini terbuka untuk semua PKS dalam sektor apa sekalipun. Pembiayaan daripada inisiatif ini boleh digunakan untuk perbelanjaan operasi, automasi sistem, modal kerja dan peralatan serta perbelanjaan operasi.

"Tempoh pemohonan akan dibuka sehingga dana yang diperuntukkan itu disalurkan sepenuhnya. Kita menganggarkan 200 hingga 1,000 PKS dapat menerima pembiayaan ini," katanya dalam majlis pengumuman BRF di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata pembiayaan BRF dibuka kepada PKS yang mempunyai pendapatan jualan sebanyak RM300,000 ke atas.

Izwan berkata, menyedari kesulitan yang dihadapi oleh PKS ketika ini, PUNB turut memberikan moratorium selama enam bulan kepada usahawan yang menerima pembiayaan BRF itu.

"Selepas memohon, PUNB akan meneliti kehendak dan keperluan setiap permohonan. Proses penuh adalah selama 21 hari bekerja dan jika layak, PKS akan diberikan pembiayaan.

"PKS juga mendapat penangguhan pembayaran atau moratorium selama enam bulan secara automatik selepas pembiayaan BRF diterima. Ini bagi membolehkan PKS masa untuk bangkit semula. "Kadar keuntungan yang dikenakan juga hanya 3.5 peratus setahun dan tempoh pembayaran maksimum sehingga 66 bulan," katanya.

Mengenai permohonan dana untuk Belanjawan 2021, Izwan berkata PUNB sudah menghantar permohonan kepada kerajaan pada April yang lalu.

Beliau berkata, permohonan dana untuk PUNB dalam Belanjawan kali ini lebih tinggi berbanding peruntukkan yang diterimanya pada Belanjawan 2020 sebanyak RM150 juta.

"Kita sudah hantar dan ia bergantung kepada kerajaan. PUNB memohon dana melebihi RM200 juta dalam belanjawan kali ini," katanya.

Berita Harian X