Isnin, 17 Ogos 2020 | 4:33pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Datuk Alexander Nanta Linggi (kiri) ketika rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di Seri Pentas, hari ini. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Datuk Alexander Nanta Linggi (kiri) ketika rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di Seri Pentas, hari ini. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kempen Jualan Malaysia sasar jualan RM100 bilion

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan Kempen Jualan Malaysia (KJM) yang berlangsung selama enam bulan bagi membantu memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menjana jualan bernilai RM100 bilion.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata KJM yang diperkenalkan dengan konsep jualan besar-besaran berlandaskan norma baharu sejak 23 Julai lalu itu adalah inisiatif kerajaan bagi memastikan sektor peruncitan dalam negara kembali berdaya saing dan mampu mengekalkan sumbangan besar kepada ekonomi negara.

"Setakat ini kita sudah menerima 5,000 permohonan notis jualan murah daripada pihak industri.

"Kita menaruh keyakinan untuk mencapai sasaran ditetapkan selepas menerima maklum balas positif dari pemain industri yang terbabit termasuk pengendali pasar raya, 'departmental store', kompleks beli-belah, restoran, 'specialty store', platform e-dagang, francais," katanya kepada BH selepas sesi temubual program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 di Sri Pentas, hari ini.

Penganjuran KJM adalah selaras dengan satu lagi kempen iaitu Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang turut dimulakan bulan lalu hingga akhir Disember ini membabitkan sasaran jualan mencecah RM513 juta.

Tahun lalu, sektor peruncitan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM537.6 bilion, yang mana 30 peratus pendapatan daripada sektor perkhidmatan adalah disumbangkan oleh sub-sektor peruncitan.

Perkembangan pesat sektor peruncitan telah mengalami kesan penurunan ketara daripada pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu.

Berdasarkan laporan prestasi ekonomi suku pertama 2020 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), indeks perdagangan borong dan runcit merosot 6.1 peratus pada Mac.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, penganjuran KJM membabitkan tiga objektif utama termasuk merangsang dan menghidupkan semula aktiviti sektor peruncitan pasca PKP.

"KJM juga bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna untuk berbelanja dan mempromosikan aplikasi MySales Tracker yang diperkenalkan KPDNHEP.

"MySales Tracker misalnya, diperkenalkan oleh kementerian bagi membantu pengguna untuk menyemak sama ada sesuatu jualan murah adalah sahih atau tidak, selain pengguna boleh mengetahui lokasi sesuatu jualan dan membuat perbandingan harga," katanya.

Beliau menjelaskan, KJM adalah jualan peringkat kebangsaan yang diadakan sepanjang tahun bermula Julai sehingga Disember dengan fokus kepada jualan mengikut tema dan segmen produk.

"Sebagai contoh, produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan gajet; 'shopping street/district'; fesyen dan kosmetik' gaya hidup; perabot dan kelengkapan rumah; e-dagang, francais, jualan langsung; dan barangan persekolahan.

"Ia akan menampilkan tema dan segmen berbeza setiap bulan dan dijual pada harga diskaun. Konsep ini bantu pengguna buat perancangan pembelian dan bantu tingkatkan jualan segmen peruncitan yang terjejas sepanjang PKP," katanya.

Alexander berkata, KPDNHEP juga akan terus mempergiatkan aktiviti promosi KJM di peringkat nasional dan negeri membabitkan peserta pasaran runcit dalam negara.

Katanya, pelancaran di peringkat negeri juga dilancarkan untuk memperluaskan hebahan termasuk bekerjasama dengan syarikat korporat seperti Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bagi aktiviti promosi yang bermula 27 Julai sehingga Disember 2020.

"Dengan kerjasama KTMB, kita yakin strategi pemasaran ini akan memberi impak pemasaran yang tinggi kerana kadar penumpang perkhidmatan komuter KTMB adalah sebanyak 120,000 orang sehari.

"Kita juga bekerjasama dengan platform e-dagang Lazada, Shopee, PGMall, Go Beli-belah, FashionValet, Prestomall, Zalora dan sebagainya yang akan dimanfaatkan oleh 27 juta pelanggan sebulan," katanya.

Berita Harian X