Isnin, 6 Julai 2020 | 8:46pm
Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM)
Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM)

Penggunaan teknologi mampu hapuskan birokrasi

KUALA LUMPUR: Masalah birokrasi dalam perkhidmatan awam boleh ditangani dengan meningkatkan penggunaan teknologi yang mampu mengurangkan pertindihan dan mendorong kecekapan lebih baik dalam sistem kerajaan.

Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) dalam satu kenyataan berkata, kejalasan dasar, peraturan dan kawal selia; prosedur yang diseragamkan dan kerajaan membuat keputusan yang pantas adalah aspek penting untuk menarik pelaburan asing.

"AMCHAM menyambut baik kenyataan Perdana Menteri pagi ini mengenai keputusan untuk menyemak semula pendekatan yang diambil bagi mengurangkan birokrasi dan masalah pentadbiran sebag ai bahagian penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia.

"Cadangan yang dinyatakan bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi akan menurunkan kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan kepantasan inovasi dan pertumbuhan untuk terjadi.

"Kerajaan boleh menggunakan dorongan ini untuk mengemas kini dan meningkatkan penggunaan teknologi yang dapat mengurangkan pertindihan, meningkatkan penyelarasan di seluruh kementerian dan mendorong kecekapan yang lebih tinggi ke dalam sistem kerajaan," katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan pertamanya di Dataran Perdana, di Putrajaya pagi ini berkata, birokrasi dan isu pentabiran tidak boleh menjadi penghalang kepada pemulihan ekonomi negara.

Katanya, Malaysia berjaya mengawal pandemik COVID-19 lebih awal daripada kebanyakan negara lain dan dengan kejayaan itu, negara tidak boleh membenarkan masalah birokrasi untuk menghalangnya daripada berkembang.

Tambahnya, kita tidak seharusnya melihat negara-negara yang masih menangani wabak menikmati pemulihan ekonomi yang lebih cepat daripada Malaysia.

Mengulas lanjut AMCHAM berkata, produktiviti untuk kerajaan dan perniagaan akan meningkat dengan ketara menerusi pengurangan birokrasi itu.

Katanya, ditambah dengan keadaaan institusi yang kukuh, transformasi proses birokrasi yang berjaya di dalam kerajaan akan menyokong Malaysia sebagai pusat perniagaan global dan serantau dan menolongnya untuk menjadi negara yang semakin relevan dalam rantaian bekalan global.

"Kami berharap untuk melihat kedudukan Malaysia terus melonjak dalam indeks 'mudahnya menjalan perniagaan' dan mengecilkan jurang operasi

ketika usaha ini mula terhasil," katanya.

Berita Harian X