Jumaat, 3 Julai 2020 | 3:09pm
Moratorium yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan berakhir September ini
Moratorium yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan berakhir September ini

'Urus hutang sebelum moratorium tamat'

KUALA LUMPUR: Peminjam yang menjangka menghadapi masalah membayar balik pinjaman selepas tempoh moratorium tamat pada September ini, dinasihatkan berjumpa bank bagi membincangkan penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman mereka.

Tindakan awal itu penting untuk mengelakkan masalah kewangan lebih besar apabila pembayaran balik hutang tertangguh, sekali gus menjadikan tekanan kewangan mereka bertambah teruk.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir, berkata peminjam yang menghadapi masalah membayar balik pinjaman perlu merancang dan bertindak lebih awal mengurus hutang sebelum moratorium tamat kira-kira dua bulan lagi.

"Sekiranya peminjam mempunyai pinjaman dengan banyak bank, mereka juga boleh datang ke AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat menstruktur semula pinjaman dan kemampuan membayar balik pinjaman.

"Kami akan berunding dengan bank untuk mendapatkan penyelesaian terbaik," katanya pada seminar secara dalam talian bertajuk 'Penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman: Rancang dan bertindak awal' anjuran Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.

BNM pada 25 Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman, termasuk gadai janji dan sewa beli oleh individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan, bermula 1 April 2020.

Penangguhan pembayaran balik pinjaman itu adalah langkah tambahan dilaksanakan BNM untuk mengurangkan beban perniagaan dan isi rumah yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Sementara itu, Wakil Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Mohd Zaini Aris, berkata peminjam yang menjangka berdepan masalah membayar balik pinjaman perlu merancang lebih awal untuk menguruskan pembayaran selepas tamat moratorium.

Jika tidak bersedia awal, katanya, mereka akan menghadapi kesulitan menyediakan dokumen yang diperlukan untuk berbincang dengan bank mengenai langkah membayar balik pinjaman dan segala obligasi kewangan pada masa depan.

"Mereka perlu bersedia awal dari segi kewangan dan mental serta persediaan rapi untuk membayar balik pinjaman.

"Tidak boleh tunggu dan lihat, harus segera berjumpa bank supaya pihak bank boleh melihat situasi dan memberi penyelesaian terbaik selepas tamat moratorium," katanya.

Mohd Zaini juga memberi amaran kepada peminjam supaya tidak melantik atau menggunakan pihak ketiga bagi membantu menguruskan penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman.

Beliau menegaskan, adalah lebih selamat untuk mereka berurusan secara terus dengan pihak bank membabitkan akaun dan kewangan masing-masing, sekali gus mengelak daripada terjebak dalam skim penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia (PENIAGAWATI), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berharap bank membuat penilaian secara menyeluruh berhubung isu pinjaman.

Katanya, langkah itu perlu dalam membantu usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederahana (PKS) yang berdepan masalah membayar balik pinjaman selepas moratorium tamat.

"Usahawan mikro serta PKS memang terkesan oleh PKP," katanya.

Jumaat minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan berkata, kerajaan sedang berbincang dengan institusi perbankan untuk melanjutkan moratorium berkenaan berikutan banyak permintaan diterima daripada pihak berkaitan.

Beliau menegaskan, keputusan mengenainya akan bergantung kepada bank tetapi jika dipersetujui, kemudahan itu akan hanya membabitkan golongan sasar, bukan secara automatik kepada semua seperti sebelum ini.

Tengku Zafrul turut menasihatkan semua pihak supaya segera berjumpa dan berbincang dengan bank mengenai penstrukturan semula pinjaman mereka dan jangan tunggu sehingga saat akhir.

Sejumlah RM43.7 bilion dimanfaatkan setakat 19 Jun lalu dengan RM16.6 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala RM30.9 bilion dimanfaatkan oleh rakyat melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium oleh institusi kewangan.

Berita Harian X