Khamis, 2 Julai 2020 | 2:59pm
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari (dua kanan) bertukar dokumen dengan (Presiden Perodua Dealer Association (PDA), Khairul Nizam Ayob (dua kiri) sambil disaksikan Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali di ibu pejabat PERODUA,

Projek kereta nasional ketiga diteruskan

RAWANG: Kerajaan akan meneruskan projek kereta nasional ketiga meskipun berlaku perubahan kepimpinan negara pada Mac lalu, kata Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) turut meminta Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Daihatsu untuk memberi taklimat serta membentangkan kertas kerja kepada kerajaan mengenai kaedah kedua syarikat automotif itu dapat membantu membangunkan projek kereta nasional ketiga.

"Ini adalah demi keperluan untuk mengembangkan sektor automotif negara. Saya juga mencadangkan kepada pengurusan (DreamEDGE) untuk memberikan taklimat mengenai kemajuan kereta nasional ketiga.

"Ini kerana kita sudah mengenal pasti platform dan pelaksanaannya. Perkara ini perlu diperjelaskan," katanya selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Perodua Suppliers Association (P2SA) dan Perodua Dealers Association (PDA).

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) bersama Presiden PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad (dua kiri) menaiki PERODUA Aruz pada majlis pertukaran dokumen memorandum persefahaman di Rawang. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Mohamed Azmin turut menyatakan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) diteruskan kerana ia adalah agenda dan rangka kerja untuk industri automotif masa hadapan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata cadangan Menteri Kanan itu akan disempurnakan oleh pihaknya secepat mungkin.

Beliau berkata, cadangan kertas kerja itu juga tidak semestinya merangkumi projek kereta nasional baru sahaja tetapi membabitkan ekosistem industri secara keseluruhan.

"Kita akan bentangkan kepada kerajaan bagaimana PERODUA dapat membantu ekosistem automotif tempatan, bukan saja tertumpu kepada kereta nasional ketiga.

"Ia merangkumi ekosistem dari tenaga kerja hinggalah teknologi serta vendor," katanya.

Berita Harian X