KUALA LUMPUR: MARA dan PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan keupayaan serta daya saing perusahaan kecil dan sederhana, terutama usahawan terbabit dalam bidang automotif dan makanan.
Kerjasama tiga tahun itu bakal memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera memperluas dan meneroka pasaran baharu melalui rangkaian Kedai Mesra dan Pusat Servis Automotif PETRONAS AutoExpert.
Melalui pelaksanaannya, MARA dan PDB menyasarkan untuk membantu usahawan memasarkan produk ke lebih dari 750 Kedai Mesra PETRONAS di seluruh negara.
Pemilihan produk akan dilaksanakan melalui 'Product Pitching' bersama panel yang terdiri daripada wakil PDB dan MARA bagi mengenal pasti potensi produk yang akan dipasarkan.
MoU dimeterai oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Ia disaksikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hilir PETRONAS, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir.
Mengulas kerjasama itu, Abdul Latiff berkata banyak PKS tempatan yang berpotensi besar tetapi menghadapi cabaran seperti kekangan kewangan, kekurangan
pensijilan dan pengetahuan perniagaan untuk bersaing dengan jenama yang
lebih besar di pasaran.
Justeru, tegasnya kerjasama itu dapat membantu memudahkan pertumbuhan perniagaan PKS terbabit.
"Saya teruja dan berbesar hati dengan inisiatif PDB dan MARA dalam usaha
membimbing serta membawa PKS tempatan ke satu tahap yang lebih baik
yang mampu mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka, terutama
dalam waktu yang mencabar ini," katanya.
Kerjasama itu juga membuka peluang kepada pengusaha bengkel menyertai bengkel PETRONAS AutoExpert dan Auto Servis yang dibangunkan oleh PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia (PLMM).
Penarafan bengkel yang dibangunkan adalah berdasarkan skala bengkel iaitu Auto Servis, Platinum dan seterusnya Flagship yang dinilai melalui proses temuduga dan lawatan ke bengkel.
Bengkel automotif tempatan yang berkelayakan akan dapat bergabung
dengan rangkaian PETRONAS AutoExpert, dengan akses kepada sistem dan
peralatan yang membantu memudahkan perkhidmatan yang lebih cekap;
skema penyelesaian serba lengkap, latihan, sokongan pemasaran, program
perdagangan yang berkesan.
Peserta juga mendapat khidmat perundingan bagi pengembangan
perniagaan yang lebih baik di masa depan, di samping dapat memanfaatkan PETRONAS sebagai jenama global terkemuka.