Khamis, 4 Jun 2020 | 7:00pm

Media Prima laksana fasa transformasi perniagaan selanjutnya

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) mengumumkan akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor luar jangkaan akibat pandemik COVID-19, telah memaksa syarikat media bersepadu itu untuk mempercepat pelaksanaan fasa transformasi berikutnya.

"Proses itu merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian. Inisiatif-inisiatif ini akan membabitkan perubahan operasi di unit-unit terpilih untuk mengatasi ketidakcekapan kos yang timbul daripada pertindihan kerja.

"Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan model perniagaan kumpulan lebih mantap dan mapan untuk jangka masa sederhana dan panjang," katanya.

Mengenai rasionalisasi tenaga kerja yang harus dilakukan, Media Prima berkata, sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab, ia akan memastikan pekerja yang terjejas menerima pakej pampasan yang adil dan saksama.

Ia akan tertakluk kepada undang-undang dan perjanjian kolektif kesatuan masing-masing yang akan dibayar setelah memenuhi semua syarat perundangan yang diperlukan.

Berita Harian X