Jumaat, 29 Mei 2020 | 11:28am
Banyak perniagaan di Jepun berdepan masalah susulan penularan COVID-19. - Foto AFP
Banyak perniagaan di Jepun berdepan masalah susulan penularan COVID-19. - Foto AFP

Jumlah firma Jepun muflis tertinggi sejak 2013

TOKYO: Syarikat diisytihar bankrap di Jepun berkemungkinan meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, sekali gus menabah tekanan kepada ekonomi yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Itu pandangan Teikoku Databank Ltd, yang mengunjurkan kes muflis akan melebihi 10,000 tahun ini, paras tertinggi sejak 2013.

Pemfailan perlindungan muflis meningkat kepada 758 pada April, dengan 123 daripadanya disebabkan faktor berkaitan pandemik berkenaan, apabila wabak itu menyebabkan hotel dan restoran menutup perniagaan, demikian menurut firma penyelidikan kredit utama yang mengumpulkan data kegagalan korporat Jepun.

"Ini lebih buruk berbanding krisis kewangan global," kata pengurus besar jabatan maklumat Teikoku Databank cawangan Tokyo, Yuya Akama, dalam satu temubual.

"Ada kebimbangan merentasi sektor seperti gedung beli belah, hospital, syarikat penerbangan, hotel, pengendali bas pelancongan dan restoran."

Kelembapan ekonomi global dicetuskan oleh COVID-19 menyebabkan banyak syarikat 'gulung tikar' di seluruh dunia, sekali gus menjejaskan kehidupan pekerja.

Perdana Menteri, Shinzo Abe menggandakan pakej rangsangan Jepun minggu ini untuk menyokong ekonominya, yang diunjurkan penganalisis akan menguncup lebih daripada 20 peratus suku ini.

Syarikat-syarikat, khususnya bersaiz kecil hingga sederhana, memerlukan dana bukan hanya untuk mengharungi krisis buat masa ini, namun bersedia untuk gelombang kedua, kata Akama.

"Ada kemungkinan perintah darurat oleh kerajaan jika terdapat gelombang kedua atau ketiga," kata Akama.

"Tambahan lagi, pemulihan akan mengambil masa lebih panjang daripada jangkaan dan mungkin akan berlarutan sehingga gelombang kedua."

Renown Inc, syarikat pakaian yang disenaraikan di Tokyo, memfailkan perlindungan kreditor bulan ini selepas jualannya menjunam disebabkan pandemik itu.

Banyak pemilik perniagaan mungkin 'gulung tikar' tanpa memfailkan perlindungan muflis.

Kes sedemikian akan meningkat kepada kira-kira 25,000 tahun ini berbanding kurang 24,000 pada 2019, menurut Akama.

-Bloomberg

Berita Harian X