Jumaat, 22 Mei 2020 | 2:21pm

TNB jamin berlaku adil dalam pemberitahuan bil elektrik

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) meminta pengguna supaya tidak gusar menerima bil sebenar masing-masing berikutan penyambungan semula pembacaan meter yang dihentikan sementara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya sedia maklum mengenai aduan warga net mengenai bil tinggi yang diterima menerusi pembacaan bil fizikal yang disambung semula sejak 15 Mei lalu.

"Janganlah khuatir. TNB sentiasa berlaku adil dan sensitif dengan kegelisahan segelintir pengguna yang menerima bil sebegini.

"Pegawai Khidmat Pelangggan kami di talian TNB CareLine ‪1300 88 5454‬ dan di Kedai Tenaga sentiasa bersedia untuk membantu menjelaskan mengenai perkiraan dan bagaimana pelarasan bil dibuat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

TNB sebelum ini telah memaklumkan bahawa sebaik pembacaan bil disambung semula, bil pelanggan akan diselaraskan.

Semasa operasi pembacaan meter dihentikan buat sementara, TNB telah mengeluarkan bil anggaran berdasarkan bil bulan sebelum PKP berkuatkuasa.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, pelanggan TNB boleh mendapatkan makluman mengenai perkiraan bil semasa PKP dengan melayari https://www.tnb.com.my/prihatin.

Tambahnya, sebagai syarikat yang prihatin mengenai impak wabak COVID-19 kepada rakyat, pada 14 Mei lalu TNB telah mengumumkan mengenai pakej pasca PKP merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar (sehingga 30 September 2020) dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan (sehingga 31 Julai 2020).

"Semua ini ditawarkan secara automatik kepada 7.5 juta pelanggan kediaman kami," katanya.

Selain pakej pasca PKP, TNB juga menawarkan diskaun berperingkat berjumlah dua peratus hingga 50 peratus bagi penggunaan dari 1 April 2020 hingga 30 September.

"Diskaun berperingkat dan pakej pasca PKP ini diharap dapat meringankan lagi beban rakyat yang terjejas akibat wabak Covid 19," katanya.

Maklumat lanjut tentang Pelan Bayaran Mudah, juga boleh dicapai di pautan https://www.tnb.com.my/prihatin serta talian TNB CareLine dan Kedai Tenaga yang berhampiran.

Berita Harian X