Khamis, 21 Mei 2020 | 2:19pm
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Tengku Zafrul kongsi pengalaman jadi 'Chef' biskut raya

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkongsi kenangan menyambut Hari Raya bersama keluarga terutama ketika zaman kanak-kanak yang sehingga kini menjadi kenangan manis buatnya.

Beliau berkata, setiap kali datangnya Aidilfitri, kuih raya wajib kegemaran mereka sekeluarga adalah tat nenas dan biskut arab.

Malah, Tengku Zafrul juga pernah mencuba menjadi 'Chef' membuat sendiri biskut raya kegemaran yang walaupun tidak menjadi, tetapi tetap habis dimakan oleh adik-adiknya.

Pengalaman itu dikongsinya dalam ucapan khas Hari Raya Aidilfitri di Facebook hari ini.

Dalam ucapan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai menggunakan kemudahan teknologi dengan membuat panggilan video dan mengumpulkan sanak-saudara secara dalam talian yang mampu merapatkan hubungan dan saling bermaafan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan, Kementerian Kewangan sentiasa berusaha tanpa mengenal penat lelah memastikan kebajikan dan ekonomi rakyat sentiasa terjamin.

Katanya, walaupun Malaysia dan juga global sedang diuji dengan pandemik COVID-19, namun ia tidak mematahkan semangat terutamanya ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Ini kali pertama saya menyambut bulan Ramadan dan Syawal sebagai Menteri Kewangan dan sebahagian daripada kakitangan Kementerian.

"Walaupun diuji, kami tidak pernah patah semangat dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anda.

"Saya percaya walaupun sambutan perayaan kali ini sedikit berbeza, harus diingat, makna sebenar Aidilfitri bukan pada kemeriahan dan kemewahan sambutannya, tetapi yang bermakna kesyukuran menyempurnakaan ibadah Ramadan dan mendapatkan keredaan Ilahi," katanya.

Berita Harian X