Rabu, 20 Mei 2020 | 5:44pm
Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Nageeb Wahab. - NSTP/Faiz Anuar
Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Nageeb Wahab. - NSTP/Faiz Anuar

Pembelian semula India, harga sawit dijangka naik cecah RM2,400

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah ke paras RM2,300-RM2,400 satu tan dalam tempoh beberapa bulan akan datang didorong langkah India memperbaharui pembelian komoditi itu dari Malaysia.

Turut menyokong harga adalah peningkatan permintaan daripada negara lain yang sudah membuka kembali ekonomi masing-masing.

Setakat jam 5 petang tadi, komoditi itu diniagakan pada RM2,230 satu tan untuk bulan semerta Jun 2020 di pasaran hadapan Bursa Malaysia Derivatives.

Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Nageeb Wahab, berkata langkah India itu dilihat sesuatu yang positif buat pasaran minyak sawit negara yang mana ia mampu membantu mengurangkan lambakan inventori MSM tempatan yang ketika ini sebanyak dua juta tan.

Beliau berkata, jumlah inventori itu meningkat sebanyak 17 peratus atau 400,000 tan daripada 1.6 juta pada tiga bulan lalu.

Katanya, sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) industri itu hanya ditutup selama sehari sahaja sewaktu PKP kecuali di Sabah selama dua minggu yang menyebabkan kadar pengeluaran minyak sawit tidak berapa terjejas dan hanya menurun sedikit sahaja iaitu di antara lima hingga 10 peratus.

"Ia jauh lebih rendah berbanding kadar eksport yang menurun dengan ketara iaitu antara 30 hingga 40 peratus sekali gus menyumbang kepada peningkatan mendadak inventori minyak sawit tempatan.

"Kini, dengan langkah kerajaan menurunkan duti eksport MSM untuk Jun ini kepada sifar berbanding 4.5 peratus menyebabkan harga komoditi kita menjadi amat kompetitif sekali gus menyumbang kepada peningkatan permintaan.

"Ia ditambah dengan jumlah stok MSM di India yang semakin berkurangan selain hubungan diplomatik yang kembali reda di antara kedua-dua negara menyebabkan mereka kembali membeli dengan kita," katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.

Menurut laporan, pembelian yang diperbaharui itu berlaku susulan hubungan perdagangan antara India dan Malaysia yang semakin bertambah baik selepas pembentukan kerajaan baharu di Putrajaya.

Pembelian baharu itu juga berlaku selepas Malaysia menandatangani perjanjian membeli 100,000 tan beras India pada minggu lalu.

Awal tahun ini, India mengehadkan pembelian minyak sawit dari Malaysia berikutan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik cara negara itu melayan minoriti Islam di sana.

Berita itu juga menerima reaksi positif di Bursa Malaysia apabila kaunter berkaitan perladangan didagangkan dengan aktif hari ini antaranya Rimbunan Sawit dan TDM Bhd.

Setakat jam 4.04 petang hari ini, saham Rimbunan Sawit turun dua sen kepada 29 sen dengan 127.8 juta saham bertukar tangan manakala TDM turun 0.015 sen kepada 25 sen dengan 118.1 juta saham didagangkan.

Mengulas lanjut Nageeb berkata, selain India yang kembali membeli minyak sawit Malaysia, langkah negara lain termasuk China yang mula membuka ekonomi mereka dijangka akan meningkatkan permintaan terhadap komoditi itu sekali gus merangsang harga MSM pada masa akan datang.

Sementara itu Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia menyifatkan berita itu sebagai positif untuk pekebun kecil yang mampu meraih manfaat sekiranya harga komoditi itu kembali melonjak.

"Pada masa ini, harga MSM agak rendah menyebabkan pendapatan pekebun kecil terjejas. Namun, dengan berita baik ini kita harapkan ia mampu meningkatkan harga komiditi ini dan sekali gus menambahkan lagi pendapatan pekebun kecil," katanya.

Berita Harian X