Selasa, 5 Mei 2020 | 10:49am
Malaysia memiliki asas ekonomi yang kukuh NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Malaysia memiliki asas ekonomi yang kukuh NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Malaysia berupaya elak stagflasi

KUALA LUMPUR: Asas ekonomi Malaysia masih kukuh dan tidak memungkinkan berlaku stagflasi, iaitu situasi sesebuah negara mengalami kadar inflasi dan pengangguran yang tinggi serta pertumbuhan ekonomi perlahan secara serentak.

Kata ahli ekonomi, ia tidak akan terjadi meskipun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka merosot dan kadar pengangguran mungkin meningkat pada suku pertama tahun ini.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata dunia ketika ini berdepan keadaan sukar baharu dan tidak pernah dihadapi dalam ekonomi yang menyebabkan kejatuhan KDNK, nilai mata wang, perniagaan serta pekerjaan.

Namun di Malaysia, tegasnya kadar inflasi juga masih rendah, selain tahap pengangguran yang tidak membimbangkan atau masih sedikit, mampu mengelak stagflasi.

"Stagflasi bermaksud sesebuah negara mengalami kadar inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi perlahan dan ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.

"Ia lebih teruk daripada keadaan inflasi yang tinggi kerana stagflasi merangkumi ketiadaan pekerjaan untuk rakyat. Namun, saya tidak merasakan ia akan berlaku di Malaysia," katanya kepada BH.

Ahmed Razman berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran masih rendah iaitu 3.3 peratus pada Februari 2020.

Kadar inflasi juga katanya, masih di bawah dua peratus.

Beliau berkata, jika stagflasi berlaku, ia sukar dipulihkan kerana apabila harga barangan meningkat tinggi, ramai yang tidak mampu membeli menyebabkan tiada permintaan.

Justeru, katanya, syarikat yang menjual tidak akan menggaji lebih ramai pekerja, menambahkan kadar pengangguran, manakala yang tiada pekerjaan terus menganggur.

"Harga barangan meningkat tinggi ini disebabkan faktor seperti tidak cukup bekalan. Untuk mengelak stagflasi, kerajaan harus memastikan harga barangan dan perkhidmatan masih terkawal.

"Selain meneruskan pakej rangsangan ekonomi supaya perniagaan masih terus dapat diteruskan, sekali gus mengekalkan pekerja tanpa perlu membuang mereka," katanya.

Penganalisis ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut bersetuju stagflasi tidak mungkin berlaku di Malaysia atas beberapa faktor seperti kejatuhan harga minyak mentah dunia, selain langkah kerajaan melaksanakan beberapa agenda pemulihan dengan segera.

Beliau berkata, ia akan berlaku apabila kadar inflasi tinggi seiring situasi ekonomi yang perlahan dan kesukaran mendapat bekalan barang mentah seperti minyak atau besi.

"Walaupun ekonomi dunia dalam kemelesetan sekarang, kita maklum harga minyak sekitar AS$20 setong yang menjadi paras terendah sejak beberapa dekad.

"Justeru, tidak mungkin stagflasi terjadi kerana tidak berlaku kenaikan harga barang mentah atau kesukaran mendapat bekalan minyak mentah.

"Malah, bekalan melebihi permintaan seharian akibat kesan COVID-19 ke atas ekonomi dunia," katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, kesan buruk stagflasi sangat berbahaya kepada ekonomi negara kerana ia berpunca daripada kadar inflasi terus meningkat serta pengangguran yang tinggi, menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan atau terus negatif.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X