Isnin, 13 April 2020 | 5:57pm
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - NSTP/Ghazali Kori
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - NSTP/Ghazali Kori

PNB sumbang lebih RM23 juta bantu depani COVID-19

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyalurkan lebih RM23 juta menerusi pelbagai sumbangan dan bantuan sokongan bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat COVID-19.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, bagi membantu usaha pemulihan dan mengurangkan penularan wabak, PNB menyalurkan sumbangan kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) atau GDRN.

Beliau berkata, bantuan kewangan juga disalurkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pusat berkenaan serta kepada institusi zakat bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan.

Katanya, bagi meringankan beban perniagaan yang terjejas pula, PNB akan memberikan pengecualian pembayaran sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi penyewa di hartanah milik PNB.

“Pada ketika di mana kita perlu berganding bahu bagi membendung penyebaran COVID-19, PNB beriltizam untuk menghulurkan bantuan dengan apa acara sekalipun.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua barisan hadapan perubatan memainkan peranan paling kritikal dan PNB berbesar hati dapat memberi sokongan dalam bentuk peralatan perubatan penting dan bantuan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara sumbangan PNB kepada KKM termasuk empat mesin ventilator penjagaan intensif yang bernilai RM637,560; sejumlah RM3.1 juta kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah KKM untuk menaik taraf perkhidmatan ujian diagnostik; RM70,180 kepada CPRC untuk membiayai kos peralatan utama yang diperlukan untuk membendung penyebaran COVID-19; dan RM1.97 juta kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan, untuk disalurkan kepada 21 hospital yang dikenal pasti oleh KKM di seluruh negara bagi tujuan bantuan lanjutan kepada barisan hadapan.

Selain itu, sumbangan kepada KKM turut membabitkan sejumlah RM3.5 juta kepada jabatan yang sama untuk disalurkan kepada 41 hospital di seluruh negara, bagi memberi bantuan kewangan segera kepada pesakit yang kurang bernasib baik; RM2.3 juta kepada GDRN yang akan disalurkan bagi membantu KKM membeli bekalan perubatan, peralatan perlindungan diri dan keperluan lain; dan sumbangan sebanyak RM11.2 juta yang disalurkan pada awal tahun untuk membantu KKM dalam pembelian kelengkapan perubatan dan kerja-kerja menaik taraf 23 hospital di seluruh negara.

Sumbangan PNB membabitkan organisasi lain adalah RM800,000 untuk Pusat Pungutan Zakat-MAIWP; mengedar makanan kepada barisan hadapan ole syarikat hospitaliti PNB, Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd; pengecualian pembayaran sewa selama tiga bulan kepada 500 PKS yang merupakan penyewa di hartanah milik PNB, serta pengecualian pembayaran sewa kepada semua penyewa sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP).

“PNB turut ingin merakamkan penghargaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan bank komersial bagi syarikat unit amanah milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), yang memberikan moratorium bagi tempoh enam bulan untuk pinjaman pengguna mulai 1 April 2020.

“Inisiatif ini memberikan kelegaan sementara kepada pemegang unit yang mengambil pinjaman bagi membiayai pelaburan mereka dalam dana unit amanah Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan ASB 2,” tambah Zeti.

Selain daripada sumbangan PNB, syarikat pelaburan PNB termasuk Maybank, Sime Darby Bhd, Sime Darby Plantation, Sime Darby Property, UMW Holdings Berhad, SP Setia, Sapura Energy, Duopharma Biotech Bhd, MIDF Bhd dan lain-lain juga melaksanakan pelbagai inisiatif.

Ini merangkumi bantuan kewangan, kepada pelbagai saluran sumbangan tabung COVID-19 seperti GDRN dan NGO seperti MERCY Malaysia serta penajaan peralatan dan bekalan perubatan.

Berita Harian X