Selasa, 7 April 2020 | 11:32am
Dolar terus meningkat berbanding mata wang lain
Dolar terus meningkat berbanding mata wang lain

COVID-19: Penularan wabak di AS tak jejaskan dolar

NEW YORK: Penularan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan jutaan rakyat hilang pekerjaan dan mencetuskan masalah kepada ekonominya, namun ia tidak menjejaskan dolar.

Sebaliknya, nilai mata wang AS itu telah meningkat tahun ini, menokok enam peratus daripada paras terendahnya awal bulan lalu, menurut indeks dolar AS, yang mengukur nilainya berbanding sekumpulan mata wang lain.

Kenaikan dolar khususnya disebabkan kedudukan istimewanya sebagai mata wang rizab dunia.

Ini bermakna, semasa tempoh krisis, pelabur mahu meletakkan wang dalam aset selamat, walaupun ekonomi AS turut bermasalah.

“Ia dipanggil keistimewaan berlebihan dolar,” kata ketua strategi tukaran asing global Societe Generale, Kit Juckes.

“Ramai orang yang mahukan dolar sepanjang masa.”

Beliau berkata, berbanding mata wang lain, ia boleh dicetak sebanyak mungkin tanpa ia perlu menjadi lemah secara mendadak.

Itu yang dilakukan oleh Persekutuan (Fed) beberapa miggu kebelakangan ini dengan menyuntik beberapa trilion dolar kecairan ke dalam sistem kewangan, namun tidak melemahkan nilai mata wang itu.

“Permintaan bagi aset selamat dalam suasana sekarang mengatasi apa yang dilakukan oleh Fed,” kata Joe Manimbo dari Western Union.

Satu lagi punca daya tarikan dolar adalah keperluan mendesak mendapatkan tunai oleh syarikat yang melihat krisis ini menjejaskan pendapatan masing-masing.

Mata wang itu juga paling banyak diniagakan di dunia dalam pasaran tukaran asing.

Bulan lalu, Fed mengumumkan ia akan memudah cara tukaran mata wang dengan beberapa bank pusat lain supaya mereka boleh menambah rizab dolar.

Juckes berkata, permintaan bagi dolar juga khususnya tinggi dalam pasaran sedang pesat membangun yang menanggung hutang denominasi dolar.

Namun, tegasnya tidak semua dapat menyelesaikan masalah dengan mudah.

Berbanding euro, dolar meningkat 3.5 peratus sejak 1 Januari.

Kejatuhan harga minyak membantu dolar meningkat berbanding ruble Russia, dolar Kanada dan krone Norway, ekonomi yang amat bergantung kepada petroleum.

-AFP

Berita Harian X