Rabu, 1 April 2020 | 12:42pm
Alat respitori yang dibangunkan oleh juara dunia enam kali Formula 1, Mercedes - Foto AFP
Alat respitori yang dibangunkan oleh juara dunia enam kali Formula 1, Mercedes - Foto AFP

COVID-19: Firma automotif global tawar kepakaran bina ventilator

PARIS: Industri automotif menawarkan kepakaran dan tenaga kerja kepada hospital dengan meningkatkan keupayaan membina mesin ventilator semasa pandemik COVID-19.

Pengeluar kereta Amerika Syarikat (AS), General Motors (GM) dan Ford, serta syarikat kereta Perancis, PSA dan Renault, selain jurutera Formula 1 turut serta membantu susulan kekurangan bekalan perubatan yang penting di peringkat global.

Ketika hospital di seluruh dunia berdepan peningkatan pesakit yang mengalami masalah pernafasan daripada COVID-19, kekurangan ventilator memaksa doktor membuat keputusan hidup atau mati.

Mengubah kilang kereta untuk pengeluaran kecemasan boleh dibandingkan semasa Perang Dunia Kedua, apabila kemudahan itu digunakan untuk membina kereta kebal serta pesawat pejuang.

Namun, beberapa pakar berkata dalam situasi ini, membina ventilator penjagaan kritikal memerlukan teknik dan prosedur berbeza berbanding yang selalu dilihat dalam kilang kereta.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan analogi ekonomi era perang untuk meyakinkan rayuannya kepada industri automotif ketika negara itu bergelut dengan peningkatan kes COVID-19.

Beliau menggunakan undang-undang 1950-an membabitkan pengeluaran pertahanan untuk meminta salah satu kilang GM mengeluarkan ventilator.

Sementara itu, di Perancis, sebuah konsortium syarikat-syarikat perindustrian dibentuk, termasuk PSA dan pembekal peralatan automotif, Valeo untuk mengeluarkan 10,000 ventilator menjelang pertengahan Mei, umum Presiden Emmanuel Macron.

Mercedes pula meminta pasukan Formula 1, yang tidak beroperasi kerana perlumbaan Grand Prix ditunda atau dibatalkan, kembali bekerja.

Pasukan juara dunia enam kali itu membina alat respitori bagi menampung ventilator, yang memerlukan tiub pernafasan, kepada pesakit yang paling teruk dijangkiti.

Ia berkata akan mengeluarkan kira-kira 1,000 unit sehari dengan bantuan enam lagi pasukan F1 berpangkalan di United Kingdom (UK) yang komited membantu menghasilkan alat itu.

Versi alat itu, yang meningkatkan aliran udara dan oksigen ke paru-paru serta biasa digunakan untuk merawat masalah sukar tidur, telah digunakan hospital di Itali dan China untuk membantu pesakit COVID-19.

Misi dinamakan ‘Projek Pitlane’ itu memanfaatkan kemahiran teras industri F1 iaitu reka bentuk pantas, pengeluaran prototaip, ujian dan pemasangan mahir’, kata F1 dalam satu kenyataan.

-AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X