Jumaat, 27 March 2020 | 2:33pm
S&P kekalkan penarafan mata wang tempatan dengan unjuran stabil
S&P kekalkan penarafan mata wang tempatan dengan unjuran stabil

Defisit kerajaan dijangka meningkat 4.1 peratus - S&P

KUALA LUMPUR: S&P Global Ratings menyemak semula unjuran defisit kerajaan berbanding Keluaran Dalam Kegara kasar (KDNK) kepada 4.1 peratus berbanding unjuran sebelumnya, 3.2 peratus.

Agensi itu bagaimanapun mengekalkan penarafan Mata Wang Tempatan kepada ‘A/A-1’ dan Mata Wang Asing ‘A-/A-2’ dengan unjuran stabil.

Dalam kenyataannya, S&P berkata ia menjangkakan kredit teras Malaysia, termasuk kedudukan luaran yang mantap dan dasar monetari yang sangat berwibawa, akan terus menyokong penarafan itu ekoran penurunan harga minyak yang agresif baru-baru ini dan perubahan tidak dijangka di dalam kerajaan.

“Walaupun kami mengunjurkan defisit fiskal lebih tinggi tahun ini berikutan langkah-langkah rangsangan dan pendapatan minyak yang lebih rendah, kami menjangkakan kerajaan mengekalkan trajektori penyatuan fiskalnya dalam jangka pertengahan.

“Prospek stabil ini mencerminkan jangkaan kami bahawa kedudukan luaran Malaysia yang kukuh, fleksibiliti monetari dan institusi yang mantap akan terus kekal untuk dua tahun mendatang,” katanya.

S&P berkata, pengekalan penarafan terhadap Malaysia itu mencerminkan jangkaannya bahawa kerajaan baharu akan meneruskan penyatuan fiskal jangka panjangnya, meskipun kejatuhan harga minyak baru-baru ini dan tekanan penurunan yang ketara terhadap pertumbuhan KDNK disebabkan oleh wabak COVID-19.

“Kami telah menyemak semula unjuran defisit kerajaan daripada KDNK untuk tahun ini kepada 4.1 peratus berbanding jangkaan sebelum ini sebanyak 3.2 peratus.

“Pendapatan daripada minyak yang lebih rendah dan perbelanjaan yang lebih tinggi terhadap langkah-langkah rangsangan akan menyumbang secara seimbang kepada defisit yang lebih tinggi ini.

“Namun, kami mengekalkan unjuran penurunan secara beransur-ansur hutang bersih kerajaan hingga 2023. Kami meramalkan hutang bersih kerajaan akan berpurata 58.5 peratus dari 2020-2023, dengan perubahan tahunan hutang bersih kerajaan berpurata 2.9 peratus,” katanya.

S&P berkata, penarafan terhadap Malaysia boleh berdepan tekanan penurunan sekiranya pertumbuhan ekonomi mengalami kemerosotan yang lebih mendalam atau lebih lama daripada yang dijangkakan.

Berita Harian X