Rabu, 25 March 2020 | 5:26pm

Industri penerbangan rugi AS$252 bilion : IATA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan industri penumpang bakal kehilangan pendapatan AS$252 bilion (RM1.1 trilion) atau empat peratus di bawah angka yang dicatatkan tahun lalu.

IATA dalam satu kenyataan berkata, pengurangan pendapatan itu disebabkan sekatan perjalanan yang semakin memburuk dan jangkaan kemelesetan global.

“Ini disebabkan senario di mana sekatan perjalanan yang teruk berlangsung selama tiga bulan, diikuti pemulihan ekonomi yang secara berperingkat akhir tahun ini,” katanya.

IATA mengkaji semula analisis kesan pendapatan ekoran COVID-19 ke atas industri pengangkutan udara global.

Dalam analisis IATA bertarikh 5 Mac menunjukkan, industri bakal kerugian sehingga AS$113 bilion (RM496.7 bilion), sebelum negara di seluruh dunia memperkenalkan sekatan perjalanan yang yang menjejaskan sebahagian besar pasaran perjalanan udara antarabangsa.

“Industri penerbangan berdepan krisis paling besar. Dalam masa beberapa minggu, senario kes terburuk kami menunjukkan ia lebih baik daripada jangkaan terkini. Namun, tanpa langkah bantuan segera kerajaan, tiada industri yang mampu bertahan,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.

de Juniac berkata, syarikat penerbangan memerlukan AS$200 bilion (RM878.3 bilion) dalam bentuk mudah tunai untuk terus kekal bersaing.

“Beberapa kerajaan sudah memulakan langkah ke hadapan, namun masih banyak lagi yang perlu mematuhi undang-undang,” katanya.

Dalam analisis terkini IATA, ia membayangkan senario pemulihan perlahan itu akan ditarik balik selepas tiga bulan.

Pemulihan permintaan perjalanan akhir tahun ini dilemahkan oleh kesan kemelesetan global ke atas keyakinan dan pekerjaan.

Menurut analisis itu, permintaan penumpang setahun penuh susut 38 peratus berbanding tahun lalu.

“Kapasiti industri (kesediaan tempat duduk) dalam pasaran domestik dan antarabangsa susut 65 peratus dalam tempoh suku tahun kedua berakhir 30 Jun berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Namun, dalam senario ini, penurunan pulih kepada 10 peratus pada suku tahun keempat,” kata IATA.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X