Ahad, 22 March 2020 | 1:11pm
Stesen minyak FIVE yang bakal dibuka.
Stesen minyak FIVE yang bakal dibuka.

FIVE, jenama stesen minyak baharu

KUALA LUMPUR: FIVE Petroleum Malaysia Sdn Bhd (FIVE), syarikat peruncitan minyak tempatan baharu menandakan kemunculannya di Malaysia menerusi pelancaran rasmi jenama FIVE di pasaran domestik.

Syarikat dalam satu kenyataan berkata, ia bercadang membuka stesen pertamanya bertempat di Kalumpang, Selangor bulan ini.

Kumpulan itu juga, katanya, akan menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan baharu menerusi saiz stesen minyak lebih kecil bagi memudahkan pengurusan.

Untuk tujuan itu, syarikat berkenaan menjalinkan kerjasama pembekalan daripada PETRONAS bagi memastikan bahan api FIVE memenuhi standard kualiti tinggi.

Pengerusi FIVE, Datuk Juhari Abdul Ghani, berkata menerusi jenama bahan api, Ultimaxx, FIVE menyasarkan untuk menawarkan kualiti bahan api tinggi dan menjimatkan.

“FIVE menyatukan syarikat tenaga bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat menerusi ciri-ciri penjimatan dan mesra alam,” katanya.

FIVE akan diuruskan oleh pasukan sama yang membangunkan Seng Group.

Seng Group ditubuhkan pada 1971, adalah peneraju perniagaan runcit petrol dengan membekalkan dan menguruskan perkhidmatan pengedaran ke operator stesen minyak termasuk menawarkan perkhidmatan membina stesen minyak baharu.

FIVE menerima lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 15 Januari lalu.

Ia menandakan langkah bebas syarikat dalam perniagaan runcit bahan api.

“Pelancaran ini akan mewujudkan peluang perniagaan kepada semua rakyat Malaysia menerusi pematuhan keperluan lebih rendah kepada operator stesen minyak. Ia juga akan membolehkan stesen minyak dibuka di lebih banyak kawasan terpencil,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada landskap pendigitalan di Malaysia, stesen minyak FIVE akan menawarkan aplikasi mudah alih baharu yang membolehkan pembayaran dibuat tanpa tunai.

“Syarikat juga merancang menjalinkan kerjasama bersepadu dengan rakan niaga, menawarkan program kesetiaan dan ganjaran menerusi aplikasi mudah alih itu.

“Hasil kerjasama juga akan membolehkan stesen minyak memiliki kedai serbaneka dikenali Woo! Mart. Program ganjaran pelanggan juga akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X