Selasa, 17 March 2020 | 1:47pm
QANTAS kurangkan kapasiti penerbangan antarabangsa dan domestik
QANTAS kurangkan kapasiti penerbangan antarabangsa dan domestik

COVID-19: Kejutan terbesar dalam sejarah industri penerbangan

SYDNEY: Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang di seluruh dunia menghentikan dividen, menjual pesawat dan menerbangkan kargo menggunakan pesawat penumpang berikutan kemerosotan permintaan yang dicetuskan pandemik COVID-19.

Boeing Co mengesahkan sedang berunding dengan pegawai kanan Rumah Putih dan pemimpin Kongres berhubung bantuan jangka pendek untuk seluruh sektor penerbangan Amerika Syarikat (AS), termasuk pembekal, syarikat penerbangan dan lapangan terbang.

Syarikat penerbangan dan kargo AS berkata, mereka memerlukan sekurang-kurangnya AS$58 bilion (RM251 bilion) pinjaman dan geran, selain perubahan cukai tambahan, manakala lapangan terbang memerlukan AS$10 bilion (RM43 bilion).

Syarikat penerbangan Eropah turut meningkatkan gesaan supaya bantuan kecemasan kerajaan diberikan.

“Adalah kini wajar untuk mengatakan inilah kejutan terbesar pernah dialami sektor penerbangan global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Airways Ltd, Alan Joyce, dalam satu memo kepada 30,000 kakitangan syarikat itu.

Joyce telah bekerja dalam industri itu lebih 30 tahun, termasuk semasa serangan 9/11 dan memimpin Qantas semasa krisis kewangan global pada 2008-2009.

Syarikat penerbangan Australia itu mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kapasiti antarabangsa sehingga 90 peratus dan kapasiti domestik sebanyak 60 peratus sehingga sekurang-kurangnya akhir Mei ini.

Ia menggantung operasi 150 pesawat sebagai tindak balas kepada sekatan perjalanan terbaharu.

“Sasaran kami adalah untuk melindungi seberapa banyak pekerjaan yang mungkin dan memastikan kami kekal teguh untuk berdepan cabaran ini,” kata Joyce dalam satu memo yang dilihat Reuters.

Pengendali lapangan terbang New Zealand, Auckland International Airport Ltd, berkata ia akan membatalkan dividen interim selain melaksanakan beberapa langkah pemotongan kos termasuk membekukan pengambilan pekerja dan menghentikan perbelanjaan budi bicara.

Air New Zealand Ltd mengumumkan untuk mengurangkan kapasiti ke Australia sebanyak 80 peratus bermula 30 Mac hingga 30 Jun, selepas kedua-dua negara berkata semua penumpang perlu menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari selepas ketibaan.

Lapangan terbang Australia dijangka kehilangan lebih AS$500 juta (RM1.32 bilion) dari segi yuran pelepasan dan pendaratan tahun ini, apabila kapasiti menjunam, kata Persatuan Lapangan Terbang Australia.

Minggu lalu, Qantas memberitahu penganalisis ia merancang menjana beberapa ratus juta dolar dengan membiayai semula sebahagian pesawatnya. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X