Isnin, 16 March 2020 | 5:10pm
SYARIKAT penerbangan seperti Qantas telah mengambil langkah mengurangkan kapasiti
SYARIKAT penerbangan seperti Qantas telah mengambil langkah mengurangkan kapasiti

COVID-19: Syarikat penerbangan global berdepan muflis

SYDNEY: Penularan COVID-19) akan menyebabkan kebanyakan syarikat penerbangan di seluruh dunia muflis menjelang akhir Mei ini, melainkan kerajaan dan industri mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan situasi berkenaan daripada berlaku, menurut perunding penerbangan.

Banyak syarikat penerbangan mungkin telah menjadi muflis secara teknikal atau sebahagian besarnya telah melanggar perjanjian pinjaman, kata syarikat perundingan yang berpusat di Sydney, CAPA Centre for Aviation dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rizab tunai syarikat penerbangan merosot dengan cepat kerana pesawat mereka digantung dan bagi yang tidak terbabit, terbang dengan lebih separuh muatan adalah kosong, katanya.

“Tindakan terselaras kerajaan dan indsutri amat diperlukan sekarang, jika mahu mengelak nasib buruk ini daripada berlaku.

“Jika tidak, krisis yang baru muncul akan seperti memasuki medan pertempuran yang ganas, dipenuhi dengan mangsa," katanya.

Kebanyakan syarikat penerbangan terbesar di Amerika Syarikat (AS), China dan Asia Barat mungkin dapat bertahan kerana bantuan kerajaan atau sokongan daripada pemiliknya, kata CAPA.

Syarikat penerbangan telah menjadi antara mangsa terbesar korporat daripada virus itu apabila ia menghentikan trafik udara.

Syarikat penerbangan, daripada American Airlines Group Inc hingga Australia Qantas Airways Ltd telah mengurangkan kapasiti, sementara beberapa penerbangan lain seperti SAS AB dari Sweden telah menghentikan pekerjanya buat sementara waktu.

Flybe, syarikat penerbangan serantau terbesar di Eropah, telah gulung tikar.

Syarikat penerbangan mungkin mengalami kerugian sebanyak AS$113 bilion (RM486.63 bilion) pada tahun ini, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa.

- Bloomberg

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X