Selasa, 10 March 2020 | 9:04pm
Tengku Zafrul mengimbas kad perakam sebelum memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Tengku Zafrul mengimbas kad perakam sebelum memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Tugas getir menanti Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berdepan tugas getir untuk mengelakkan defisit negara daripada ‘menggelembung’ dengan mendadak, demikian mengikut OCBC Bank.

Ahli Ekonomi Perbendaharan Global, Strategi dan Penyelidikannya, Wellian Wiranto, berkata antara perkara yang perlu segera menjadi keutamaannya kini adalah untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang diumumkan Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mojamad pada 28 Februari lalu.

Katanya, seperti yang pernah pihaknya nyatakan sebelum ini, biarpun langkah itu adalah membantu, tetapi banyak lagi yang diperlukan bagi berdepan krisis yang sedang meningkat itu.

“Malahan dibandingkan ketika langkah itu diumumkan, impak COVID-19 terhadap ekonomi Malaysia sudah meningkat dengan ketara, memandangkan kenaikan kes di peringkat global yang dilihat akan memberatkan permintaan global dengan lebih banyak.

“Kejadian peningkatan kes terkini akan mengakibatkan eksport lebih rendah, ditambah dengan penggunaan domestik dan sektor pelancongan yang telah terjejas daripada gelombang awal penularan virus itu,” katanya dalam nota penyelidikan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai lantikan itu, Wiranto berkata, dengan kepakaran Tengku Zafrul yang mendalam di dalam perbankan selain beliau juga dilihat bukan lantikan politik, adalah jelas bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin faham kepentingan untuk membawa masuk wajah yang mesra pasaran bagi portfolio yang amat penting itu.

Bagaimanapun katanya, tempoh berbulan madu untuk Menteri Kewangan baharu ini adalah amat singkat dan itu pun jika ada.

“Selain daripada perlu mencari cara untuk mendapatkan lebih banyak sumber pendapatan yang mapan selain daripada bergantung harap dengan petroleum setelah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah perkara yang amat sensitif disentuh dalam masa terdekat, beliau akan menjadi sangat sibuk dalam mencari kaedah untuk merangsang ekonomi.

“Biarpun masih ada yang menaruh harapan terhadap bantuan fiskal selanjutnya, realitinya ialah defisit fiskal yang tinggi membimbangkan pelabur dan diburukkan lagi dengan kejatuhan harga minyak.

“Paling banyak pun, paras tertinggi defisit fiskal ialah di antara 3.6 hingga 3.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), bergantung kepada sejauh mana teruknya keadaan global, sebelum campur tangan daripada agensi penarafan,” katanya.



Berita berkaitan:

  • Senarai Kabinet 2020
  • Hishammuddin mahu hidupkan semula persahabatan dengan pemimpin luar
  • Tengku Zafrul mula tugas hari pertama
  • Portfolio Sabah, Sarawak dengar pandangan MA63
  • Zuraida bersyukur dilantik semula terajui KPKT
  • Isu aset Tabung Haji cabaran besar Zulkifli
  • Tugas berat Kementerian Perpaduan Negara kekalkan keharmonian antara kaum
  • Prestasi Kabinet penentu kelangsungan Perikatan Nasional
  • Kesemua 31 menteri Kabinet angkat sumpah jawatan di hadapan Agong
  • Keupayaan Zulkifli Mohamad Al-Bakri diyakini
  • Mufti paling sesuai jaga hal ehwal agama
  • Senator diminta tumpu isu rakyat


  • Berita Harian X