Sabtu, 29 Februari 2020 | 4:13pm
Kakitangan TNB di setiap Kedai Tenaga seluruh negara sudah mula memakai topeng muka bagi mengelak penyebaran COVID-19. - Foto TNB
Kakitangan TNB di setiap Kedai Tenaga seluruh negara sudah mula memakai topeng muka bagi mengelak penyebaran COVID-19. - Foto TNB

TNB ambil langkah proaktif cegah COVID-19 di Kedai Tenaga

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah proaktif mencegah penyebaran virus COVID-19 bagi memastikan kelangsungan urusan Kedai Tenaga, demi kemudahan pelanggan.

TNB dalam kenyataan di sini hari ini menjelaskan sejak beberapa minggu lalu, pegawai TNB di setiap Kedai Tenaga di seluruh negara sudah mula memakai topeng muka bagi mengelak penyebaran virus itu. Cecair pembasmi kuman juga disediakan untuk pegawai dan pelanggan di setiap pintu masuk Kedai Tenaga.

Bagi Kedai Tenaga di Johor, pemeriksaan suhu badan pegawai dan pelanggan Kedai Tenaga mula dilaksanakan pada 26 Februari 2020 sebagai langkah tambahan.

Dakwaan enam Kedai Tenaga di Johor berisiko tinggi jangkitan COVID-19 yang tular di media sosial adalah tidak benar sama sekali. Malah, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) semalam turut menafikan dakwaan itu di laman Facebook rasminya.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak bimbang semasa berurusan di Kedai Tenaga serta tidak menyebarkan berita yang tidak disemak kesahihannya.

Berita Harian X