Rabu, 12 Februari 2020 | 6:17pm

Lambakan penyedia e-dompet tak sesak pasaran - Bank Negara

KUALA LUMPUR: Penyedia e-dompet yang pelbagai di negara ini tidak menyesakkan pasaran, sebaliknya ia memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata terdapat pelbagai peserta e-dompet dalam pasaran tempatan, yang mana ia memberi pelbagai pilihan kepada pengguna untuk memilih perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka.

Beliau berkata, dengan adanya DuitNow QR yang menjadi penyelesaian pembayaran QR kebangsaan, ia akan menjadikan landskap pembayaran di Malaysia lebih cekap, berdaya saing dan inovatif.

DuitNow QR membolehkan operasi saling dikendalikan, menggalakkan persaingan kerjasama dan menyediakan akses yang adil dan terbuka kepada infrastruktur pembayaran yang dikongsi bersama.

“Matlamat adalah untuk memanfaatkan pengguna. Mereka mempunyai pelbagai pilihan perkhidmatan e-dompet yang memenuhi keperluan mereka.

“Apa yang penting adalah memastikan ada platform lazim yang memudahkan pembayaran,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada perlu mengurangkan jumlah peserta e-dompet bagi memantapkan lagi perkhidmatan itu di negara ini.

DuitNow QR adalah penyelesaian pembayaran QR lazim kebangsaan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Operasi (ICTF), yang mana semua peserta pembayaran mudah alih beroperasi pada platform rangkaian pembayaran berkongsi.

Dengan platform pembayaran berkongsi itu, ia membolehkan pengguna membuat pembayaran dengan menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih yang ditawarkan oleh mana-mana peserta bank atau e-dompet.

Sementara itu, peniaga hanya perlu mempamerkan DuitNow QR untuk menerima pembayaran daripada semua pelanggan peserta bank dan e-dompet.

Bank Negara menjangkakan lebih banyak peserta kewangan dan e-dompet dijangka melaksanakan DuitNow QR tahun ini, yang mana akan melancarkan lagi landskap pembayaran mudah alih di negara ini meskipun terdapat pelbagai peserta yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Ketika ini, empat bank sudah menawarkan DuitNow QR dalam aplikasi perbankan mudah alih mereka, manakala dua bank sedang menawarkan DuitNow QR dalam persekitaran terkawal.

DuitNow QR adalah lanjutan daripada perkhidmatan DuitNow yang dilancarkan pada Disember 2018, yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang dengan serta-merta dan selamat dalam 24/7 di internet atau saluran perbankan mudah alih bank.

Pemindahan dana DuitNow boleh diarahkan menggunakan nombor telefon mudah alih penerima, nombor MyKad atau nombor pendaftaran perniagaan.

Berita Harian X