Isnin, 3 Februari 2020 | 3:33pm

Jualan PROTON meningkat 20.2 peratus pada Januari

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd (PROTON) membuka tirai 2020 dengan jualan kukuh apabila merekodkan jualan 8,506 unit pada Januari.

Pengeluar kereta nasional itu meneruskan prestasi cemerlang yang dicatatkan pada 2019 dengan kenaikan jualan Januari sebanyak 20.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah ini juga menunjukkan pencapaian terbaik bagi bulan Januari dalam tempoh selama empat tahun,” kata PROTON dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong, berkata pegangan pasaran turut memperlihatkan pertumbuhan di mana kedudukan syarikat kini meningkat kepada 19.5 peratus, berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Meskipun tempoh bulan Januari adalah singkat disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina, PROTON tetap catat jualan seperti yang dijangkakan dan terus berada di kedudukan kedua.

“Ini adalah satu permulaan yang baik bagi tahun ini selepas mencatat prestasi cemerlang pada tahun 2019. Kebiasaannya, Januari adalah bulan yang mencabar namun, kami masih berjaya menunjukkan prestasi terbaik berbanding tempoh empat tahun,” katanya.

Proton X70 turut kekal sebagai peneraju segmen apabila mencatat pendaftaran baharu sebanyak 1,367 unit.

Saga terus menjadi tulang belakang PROTON dengan mencatat hampir separuh daripada jumlah jualan bulanan iaitu sebanyak 3,871 unit, dengan jumlah itu menunjukkan peningkatan 72 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Model Persona, Iriz dan Exora juga menunjukkan prestasi yang baik. Persona catat jualan sebanyak 2,109 unit iaitu dua kali ganda berbanding 2019. Jumlah ini mewakili peningkatan 84 peratus berbanding tempoh sama.

“Selain itu, jualan Iriz berkembang hampir lima kali ganda, dengan 785 unit diserahkan kepada pelanggan, iaitu peningkatan sebanyak 465 peratus.

“Kini sudah jelas bahawa pelanggan kini lebih memilih nilai lebih baik yang ada pada barisan produk kami terutamanya Saga, Persona, Iriz dan Exora yang dilancarkan tahun lalu. Kami percaya bahawa penekanan kami pada teknologi, keselamatan dan kualiti menjadi pemacu pada kenaikan jualan syarikat,” tambah Chunrong.

Berita Harian X