Jumaat, 31 Januari 2020 | 6:04pm

Coronavirus - ekonomi Singapura, Thailand paling terkesan dalam kalangan ASEAN

KUALA LUMPUR: Ekonomi Singapura dan Thailand dijangka terkena kesan paling teruk dalam kalangan negara ASEAN susulan penularan coronavirus.

Maybank Kim Eng dalam laporan ekonomi serantaunya, berkata ia susulan pasaran kedua negara berkenaan memiliki kebergantungan lebih tinggi dalam perdagangan dan pelancongan dengan China berbanding jirannya seperti Malaysia, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Singapura dan Thailand berkemungkinan besar akan paling terjejas sehingga boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi mereka menurun, kata bahagian penyelidikan bank pelaburan itu.

Sementara itu katanya, impaknya kepada Malaysia dan Vietnam pula sederhana manakala Filipina dan Indonesia adalah negara yang paling kurang terkesan.

“Singapura adalah yang paling teruk terkesan sewaktu krisis Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003. Berdasarkan anggaran Penguasa Kewangan Singapura (MAS), sektor berkaitan pelancongan seperti hotel dan pengangkutan udara adalah paling teruk terjejas diikuti restoran, perdagangan runcit dan pengangkutan darat.

“Malah, sektor hartanah dan perkhidmatan kewangan turut terjejas secara sederhana hasil kesan limpahan negatif daripada krisis berkenaan,” katanya.

Thailand yang menjadi destinasi terbesar pelancong China di luar Hong Kong dan Macau, dilihat akan terjejas teruk kali ini dibandingkan sewaktu episod SARS, kata laporan itu.

Menurutnya, pelancong China mewakili 28 peratus daripada keseluruhan pelancong yang datang ke negara itu pada tahun lalu, berbanding 22 peratus pada 2003 sewaktu insiden SARS.

“Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand menjangkakan bilangan pelancong China akan menurun kepada sembilan juta pada tahun ini berbanding 11 juta pada tahun lalu. Kerugian dianggarkan sebanyak AS$1.7 bilion (RM6.96 bilion) atau 0.3 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK),” katanya.

Malaysia juga katanya, akan terjejas dengan pengurangan jumlah pelancong China terutama membabitkan sektor perjudian, yang terjejas teruk sewaktu SARS.

“Untung bersih Resort World Genting jatuh 45 peratus pada separuh pertama 2003 ketika waktu kemuncak epidemik SARS. Penganalisis kami tidak menolak kemungkinan yang kerajaan Malaysia akan menarik semula kenaikan kadar duti sebanyak 10 peratus yang dikenakan terhadap sektor itu berkuatkuasa 1 Januari tahun lalu.

“Sementara itu, sektor sarung tangan Malaysia muncul penerima manfaat paling tinggi apabila permintaan terhadap barangan itu melonjak tinggi akibat penularan Novel Coronavirus ini,” katanya.

Sektor perkhidmatan Vietnam terutama industri berkaitan pelancongan turut terjejas dengan coronavirus, bagaimanapun impak keseluruhan adalah lebih kecil memandangkan perkhidmatan berkaitan pelancongan seperti pengangkutan dan penyimpanan serta penginapan dan sektor makanan hanya mewakili lima peratus KDNK negara itu.

Berita Harian X