X
Khamis, 30 Januari 2020 | 4:04pm

Dua program baharu bantu PKS berkembang

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperkenalkan dua program baharu, SME Go Global dan SME Co-Investment Partner (SCIP) bagi meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SME Go Global adalah bagi meningkatkan sumbangan eksport PKS, manakala SCIP adalah program pembiayaan berimpak tinggi, kesinambungan dari SME Investment Partner (SIP) yang diperkenalkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said, berkata SME Go Global adalah program bagi menggalak dan membantu PKS yang sedia menembusi pasaran eksport mengembangkan lagi pasaran.

“Tahun ini, kami menyasarkan 40 program untuk SME Go Global. Ia sebagai pemudah cara untuk memberikan panduan bagaimana PKS boleh mengeksport produk mereka. SME Corp memperuntukkan RM20 juta bagi program SME Go Global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran SME Go Global dan SME Co-Investment Partner (SCIP) di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Noor Azmi berkata, SCIP pula adalah inisiatif pembiayaan bersama antara kerajaan dan sektor swasta.

Katanya, SCIP akan membabitkan dana permulaan berjumlah RM15 juta daripada SME Corp dan akan ditambah melalui pembiayaan daripada sektor swasta yang dijangka berjumlah RM15 juta.

“Ketika ini, ada empat rakan pelaburan untuk program ini. Jumlah pelaburan daripada rakan strategik itu bergantung kepada saiz dana, tahap keyakinan dan keperluan kedua pihak.

“Dana itu akan digunakan sebagai pelaburan semula ke dalam syarikat PKS terpilih, melalui penyediaan pembiayaan modal berisiko.

“Ia bermatlamat meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan peringkat awal. Ini adalah pelaburan permulaan, bagi memudahkan PKS mencari pelaburan melalui saluran lain,” katanya

Pada majlis itu, SME Corp turut menjalin memorandum kerjasama (MoC) dengan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd bagi menyediakan sokongan teknikal dan khidmat nasihat.

Noor Azmi berkata, Huawei akan membangunkan program untuk memudahkan adaptasi dan aplikasi inovasi PKS dalam inisiatif digital.

Katanya, Huawei akan menyediakan kepakaran dan sokongan teknikal yang menggabungkan penyelesaian digital inovatif dalam perniagaan berdasarkan teknologi Kepintaran Buatan (AI).

KETUA Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Noor Azmi Mat Said (dua dari kiri) bertukar 'Memorandum Kerjasama' bersama Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, Michael Yuan (dua dari kanan) pada majlis pertukaran 'Memorandum of Collaboration' antara SME Corp. Malaysia dan Huawei Technologies Malaysia di Dewan Mahkota, Platinum Sentral. NSTP/Mustaffa Kamal
KETUA Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Noor Azmi Mat Said (dua dari kiri) bertukar 'Memorandum Kerjasama' bersama Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, Michael Yuan (dua dari kanan) pada majlis pertukaran 'Memorandum of Collaboration' antara SME Corp. Malaysia dan Huawei Technologies Malaysia di Dewan Mahkota, Platinum Sentral. NSTP/Mustaffa Kamal
Berita Harian X