Sabtu, 25 Januari 2020 | 1:22pm
Bank Pusat laksana pelbagai langkah lindungi integriti sistem kewangan. - Foto hiasan
Bank Pusat laksana pelbagai langkah lindungi integriti sistem kewangan. - Foto hiasan

Bank Negara tegas banteras aktiviti ekonomi bayangan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia tegas memastikan integriti sistem kewangan negara dilindungi daripada kegiatan penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang mana tergolong sebagai aktiviti ekonomi bayangan.

Pelbagai langkah dilaksanakan bank pusat termasuk mengekang salah guna tunai, memperkukuhkan penguatkuasaan, meningkatkan pengawasan dan merapatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan institusi kewangan.

Bank Negara berkata, dalam mengekang salah guna tunai, pihaknya mengurangkan keperluan bagi Laporan Paras Siling Tunai (CTR) harian daripada RM50,000 kepada RM25,000 dengan sehingga September 2019, lebih lima juta laporan CTR diterima, mewakili kira-kira RM483 bilion transaksi tunai.

Bank pusat juga bercadang untuk mengenakan had transaksi tunai (CTL) dan menjalankan konsultasi awam mengenai had transaksi yang sesuai.

Katanya, CTL merujuk kepada had transaksi tunai fizikal antara perniagaan kepada perniagaan (B2B), pelanggan kepada pelanggan (C2C) dan perniagaan kepada pelanggan (B2C) dan sebaliknya.

“Jawatankuasa Penyelaras Peringkat Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) akan mendapatkan maklum balas awam mengenai CTL dalam tempoh terdekat,” katanya.

Bank Negara menegaskan ia juga memantapkan Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang bagi menangani aktiviti haram.

Ia berkata, analitik data digunakan untuk meningkatkan pengawasan risiko penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dan kawal selia berkesan perniagaan perkhidmatan wang dan melaporkan semua transaksi kiriman wang oleh perniagaan perkhidmatan wang berlesen.

Pada Persidangan Antarabangsa Pembiayaan Jenayah dan Keganasan 2019 (IFCTF), Gabenor Bank Negara, Datuk Shamsiah Mohd Yunus, berkata berdasarkan laporan Thompson Reuters, daripada 2018 menunjukkan hampir separuh daripada lebih 2,000 syarikat besar yang dikaji selidik adalah mangsa jenayah kewangan, kerugian jangkaan 3.5 peratus daripada pendapatan mereka.

Justeru, beliau berkata, kerjasama awam-swasta sangat perlu kerana mereka membenarkan unit perisikan kewangan, agensi penguatkuasaan undang-undang dan institusi pelaporan untuk memanfaatkan kerjasama risikan dan perkongsian maklumat untuk mengesan jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.

Katanya, Bank Negara akan terus menggunakan taktik penyeliaan untuk mengekalkan perubahan positif dan memacu penambahbaikan dalam budaya pematuhan dalam industri termasuk peningkatan pengawasan oleh pengurusan kanan dan lembaga pengarah, langkah pemulihan yang lebih mantap dan peningkatan pelaburan dalam pengukuhan pematuhan.

Berita Harian X