Isnin, 20 Januari 2020 | 7:20pm

Petronas, CIMB tawar pembiayaan kepada PKS

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd, menjalin usaha sama bagi menawarkan penyelesaian pembiayaan kepada vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor Perkhidmatan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE).

Menurut kenyataan bersama Petronas dan CIMB, VFP adalah antara inisiatif dalam program Petronas 'Lestari - penyelesaian dan platform kerjasama untuk memperkukuh PKS dalam ekosistem OGSE.

“Ditubuhkan pada Mei 2018, VFP adalah kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dan Petronas untuk membantu vendor OGSE Malaysia yang terjejas akibat krisis harga minyak dalam mendapatkan modal kerja dan meningkatkan aliran tunai mereka untuk mengekalkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Kerjasama menerusi Program Pembiayaan Vendor Petronas (VFP) itu disahkan dengan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU), di sini hari ini.

Naib Presiden Pemerolehan Kumpulan Projek Penghantaran dan Teknologi Petronas, Liza Mustapha, berkata pakatan strategik antara Petronas dan CIMB itu akan memperkasa lagi vendor PKS dalam mengharungi pasaran yang tidak menentu serta cabaran sebenar menerusi pelbagai penyelesaian pembiayaan untuk memenuhi keperluan PKS, dan pada masa yang sama menjadi pemangkin kepada pembangunan minyak dan ekosistem gas untuk kepentingan negara.

Beliau berkata, sehingga Disember 2019, program itu menerima kira-kira 130 permohonan dan pembiayaan bernilai RM814 juta diluluskan.

“VFP memanfaatkan beberapa vendor PKS dalam industri ini. Ini bukan saja membolehkan vendor terus bertahan semasa tempoh sukar, malah dapat bergerak ke depan untuk mencatat kejayaan penting.

“Program itu tidak akan mencapai kesan positif tanpa sokongan institusi kewangan seperti CIMB yang berkongsi semangat untuk menyokong pertumbuhan PKS seiring dengan aspirasi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, CIMB berkata, ia akan menyokong vendor OGSE Petronas dalam pembiayaan rangkaian nilai dengan liputan perbankan komersil yang meluas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Menerusi MoU itu, peniaga akan memperoleh akses kepada kemudahan pembiayaan untuk menampung keperluan khusus mereka untuk pemerolehan atau kontrak.

CIMB menyertai VFP sebagai bank panel kesembilan selepas Bank Islam, Malayan Banking Bhd (Maybank), RHB Bank, HSBC Bank Malaysia Bhd, United Overseas Bank (UOB), Export-Import Bank Malaysia Bhd (EXIM), Bank Rakyat dan Bank Muamalat .

-- BERNAMA

Berita Harian X