Rabu, 15 Januari 2020 | 4:42pm

Amazon labur RM4.07 bilion bantu PKS India

NEW DELHI: Amazon.com Inc akan melabur AS$1 bilion (RM4.07 bilion) untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) India muncul di dalam talian, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jeff Bezos.

Beliau menjangkakan untuk mengeksport barangan buatan India bernilai AS$10 bilion (RM40.7 bilion) menjelang 2025.

Kunjungan Bezos ke India adalah di tengah-tengah kritikan daripada pemilik perniagaan yang menuduh syarikat itu dan Flipkart milik Walmart melaksanakan amalan perniagaan tidak adil.

Syarikat terbabit menafikan tuduhan itu.

Suruhanjaya Persaingan India (CCI) turut melancarkan siasatan ke atas Amazon dan Flipkart.

Bezos berucap dalam satu acara syarikat itu di Stadium Jawaharlal Nehru dekat sini, yang dianggapnya ‘sidang kemuncak mega pertama seumpamanya’ yang menghimpunkan lebih daripada 3,000 perniagaan kecil.

Amazon akan menggunakan ‘saiz, skop dan skala’ untuk mengeksport sehingga AS$10 bilion barangan buatan India, kata Bezos yang memuji negara itu.

“Dinamik, tenaga ... pertumbuhan. Negara ini memiliki sesuatu yang istimewa dan ia demokrasi.”

Jadual Bezos tidak begitu didedahkan namun sumber memberitahu Reuters beliau meminta bertemu dengan Perdana Menteri, Narendra Modi dan beberapa pegawai kerajaan.

Pemilik perniagaan di India menuduh Amazon mengakibatkan perniagaan mereka musnah dengan menawarkan produk pada harga diskaun yang tinggi dan memihak kepada syarikat besar dalam platformnya.

Syarikat itu menegaskan ia menyediakan peluang kepada lebih 550,000 penjual menggunakan platform dan mengembangkan perniagaan di India.

Persekutuan Peniaga Seluruh India (CAIT), kumpulan yang mewakili kira-kira 70 juta peruncit berkata, ia akan melakukan protes di 300 bandar semasa kunjungan Bezos.

Terdapat dua protes kecil, di New Delhi dan Odisha, hari ini. - Reuters

Berita Harian X