Jumaat, 10 Januari 2020 | 4:46pm
Komposisi ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam utama di Malaysia masih lagi dikuasai lelaki serta golongan berusia 50-an dan 60-an. - Foto hiasan
Komposisi ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam utama di Malaysia masih lagi dikuasai lelaki serta golongan berusia 50-an dan 60-an. - Foto hiasan

Lembaga pengarah syarikat Malaysia dikuasai lelaki, golongan berusia

KUALA LUMPUR: Komposisi ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam utama di Malaysia masih lagi dikuasai lelaki serta golongan berusia 50-an dan 60-an.

Analisis yang dibuat oleh firma pelaburan swasta, RVL Ventures, mendapati 73 peratus ahli lembaga pengarah dalam 100 syarikat senaraian awam terbesar di Malaysia dikuasai golongan lelaki, dengan hanya 27 peratus ahli lembaga pengarah wanita.

Analisis juga menunjukkan hanya lima peratus ahli lembaga pengarah berusia di bawah 40 tahun, dengan 95 peratus berusia 40 tahun ke atas, yang sebahagian besarnya dalam lingkungan usia 50-an dan 60-an.

“Berdasarkan analisis ini, kami berpendapat bahawa lembaga pengarah syarikat Malaysia perlu menstruktur semula komposisi berkenaan bagi meningkatkan tadbir urus korporat, pemantauan berkesan dan membuat keputusan,” katanya.

Kaji selidik itu juga mendapati, kebanyakan ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat terbesar di Malaysia bekerja dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd, Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Bhd (PNB) serta kumpulan syarikat PETRONAS.

Turut perlu diberikan perhatian, majoriti atau 74 peratus ahli lembaga pengarah ketika ini berkhidmat dalam sekurang-kurangnya dua syarikat, manakala 88 peratus memegang jawatan selama sekurang-kurangnya dua penggal.

Rakan Urusan RHL Ventures, Raja Hamzah Abidin, berkata lembaga pengarah syarikat Malaysia dilihat kekal amat konservatif.

“Kebanyakan syarikat memilih pemimpin industri yang mempunyai kerjaya panjang dalam korporat terbesar Malaysia, sehingga menyebabkan kepelbagaian komposisi lembaga pengarah yang rendah.

“Dengan bermulanya dekad baharu, komposisi lembaga pengarah perlu dibuka untuk menerima pemimpin di luar demografi konvensional. Kita perlu melihat kepada idea dan perspektif lebih segar ke dalam syarikat-syarikat utama di Malaysia,” katanya.

Dari segi kepelbagaian etnik, kebanyakan lembaga pengarah terdiri daripada kaum Melayu dan Cina, diikuti kaum India dan warganegara asing dari negara seperti Singapura, Jepun serta Australia.

“Namun, kepelbagaian antara kaum Melayu dan Cina adalah setara, masing-masing mewakili 41 peratus serta 42 peratus komposisi ahli lembaga pengarah,” katanya.

RVL Ventures mendapati, walaupun kebanyakan ahli lembaga pengarah mempunyai pengalaman bekerja di firma korporat utama Malaysia, didapati sehingga 58 peratus tidak mempunyai pendedahan kerjaya di luar negara, sama ada sebagai kakitangan, ahli lembaga pengarah syarikat atau kedua-duanya.

Namun demikian, kebanyakan ahli lembaga pengarah menerima pendidikan luar negara kerana ramai yang pergi ke institusi seperti Cambridge University dan University of London.

Satu lagi destinasi popular adalah Harvard University, dengan 73 alumni, namun kebanyakannya mengambil program pengurusan berbanding ijazah sarjana atau sarjana muda.

Berita Harian X