Jumaat, 10 Januari 2020 | 8:05am
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) , Tan Sri Soh Thian Lai.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) , Tan Sri Soh Thian Lai.

FMM harap ringgit lebih kukuh pada 2020

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan akan terus mengukuhkan mata wang dan pasaran modal negara.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata peningkatan "akan mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan di sini.”

"Perlu diingat bahawa kira-kira 70 peratus daripada barangan perantara untuk sektor pembuatan diimport dan kami mahu kerajaan membantu mengukuhkan ringgit,” katanya kepada pemberita pada majlis angkat sumpah Majlis FMM dan majlis makan malam di malam tadi.

Acara itu dirasmikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Turut bersetuju dengan Soh, bekas Presiden Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.2 kepada 4.1 dalam beberapa minggu ini.

“Bagaimanapun, terdapat juga pengeksport dalam industri (pembuatan) dan industri lain; justeru mata wang yang stabil adalah penyelesaian terbaik untuk semua. Tidak terlalu kukuh dan tidak terlalu lemah. Saya fikir julat 3.8 hingga 4 adalah paras terbaik. Sebelum ini pada 3.8, ringgit telah mencatatkan prestasi yang amat baik untuk kebanyakan sektor,” katanya.

Soh berkata bagi 2020, FMM akan mencuba yang terbaik untuk meningkatkan sektor pembuatan, menambah aktiviti dan mempunyai lebih banyak eksport selain membawa masuk lebih banyak pendapatan.

Terdahulu dalam ucapan, Soh berkata: "Kepada YB, kerajaan memberi kami belanjawan yang baik, kami memberikan keputusan yang baik”, sambil memberi jaminan FMM akan meningkatkan kebolehpasaran dalam negara dan, melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), meningkatkan kumpulan B40 ke arah status berpendapatan tinggi.

FMM turut menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula menggerakkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-EU atau FTA Malaysia-EU dan meneliti semula Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). - BERNAMA

Berita Harian X