Khamis, 2 Januari 2020 | 9:18am
Ekonomi Singapura berkembang pada kadar paling perlahan dalam satu dekad tahun lalu ketika mana sektor perkilangan berhadapan kelembapan. - Foto Reuters
Ekonomi Singapura berkembang pada kadar paling perlahan dalam satu dekad tahun lalu ketika mana sektor perkilangan berhadapan kelembapan. - Foto Reuters

Ekonomi Singapura berkembang pada kadar paling perlahan dalam sedekad

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang pada kadar paling perlahan dalam satu dekad tahun lalu ketika mana sektor perkilangan berhadapan kelembapan, demikian menurut data awal hari ini, walaupun pertumbuhan meningkat sedikit pada suku keempat.

Ekonomi berorientasikan eksport itu menerima kesan ketara daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China selain kitaran kelemahan global dalam sektor elektronik.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 0.7 peratus pada 2019, kadar tahunan paling perlahan sejak 2009 dan turun daripada 3.1 peratus pada 2018.

Pihak berkuasa meramalkan pertumbuhan antara 0.5 peratus hingga 2.5 peratus pada tahun ini.

Sektor perkhidmatan dan pembinaan mengimbangi kelemahan dalam pembuatan, membantu pertumbuhan ekonomi pada kadar yang lebih pantas sedikit pada suku keempat.

KDNK berkembang 0.8 peratus pada Oktober-Disember daripada tempoh sama tahun lalu, berbanding 0.7 peratus yang disemak pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri dalam satu kenyataan.

Penganalisis mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.8 peratus.

Ekonomi meningkat 0.1 peratus suku ke suku pada asas tahunan dan disesuaikan secara bermusim, berbanding kenaikan 2.4 peratus suku sebelumnya.

Penganalisis mengunjurkan pengembangan 0.4 peratus.

"Kelembapan ekonomi global menjejaskan kita. Tahun ini (2019) kita mengelak daripada kemelesetan. Ekonomi kita masih berkembang, tetapi kurang daripada yang kita mahukan," kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam mesej Tahun Baharu tahunannya pada 31 Disember.

Negara itu yang bergantung pada perdagangan dijangka akan mengadakan pilihan raya dalam beberapa bulan, berkemungkinan selepas pelaksanaan belanjawan tahunan pada 18 Februari. - Reuters

Berita Harian X