Selasa, 31 Disember 2019 | 8:21pm

Public Mutual umum agihan 10 dana berjumlah RM66 juta

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual, mengumumkan pengagihan berjumlah lebih daripada RM66 juta untuk 10 dana.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Public Mutual berkata, jumlah pengagihan kasar yang diumumkan bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2019 itu merangkumi dana Public Dana Bon Strategik dengan pengagihan kasar sebanyak 4.75 sen seunit;

Public Dana Simpanan (0.75 sen seunit) dan Public Dana Bon Strategik Islamik (4.50 sen seunit).

Selain itu, ia juga membabitkan Public Dana Bon Diperkasa Islamik (3.50 sen seunit); Public Dana Tumbuh & Pendapatan Islamik (0.25 sen seunit); Public Dana Simpanan Islamik (0.20 sen seunit); PB Dana Sukuk Aiman (4.75 sen seunit) dan PB Dana Perusahaan Asia Pasifik (1.00 sen seunit).

Dua dana lain yang turut terbabit dengan pengagihan berkenaan adalah PB Dana Aset Campuran Konservatif (0.70 sen seunit) serta PB Dana Sekuel Imbang (0.50 sen seunit).

Menurut kenyataan berkenaan, Public Dana Bon Strategik, Public Dana Simpanan, Public Dana Bon Strategik Islamik, Public Dana Bon Diperkasa Islamik, Public Dana Simpanan Islamik, PB Dana Sukuk Aiman dan PB Dana Perusahaan Asia Pasifik adalah dana yang terbuka kepada Skim Pelaburan Ahli KWSP.

“Semua Dana Siri Public diedarkan oleh perunding unit amanah (PEUA) Public Mutual manakala Dana Siri PB diedarkan melalui cawangan Public Bank di seluruh negara,” katanya di sini, hari ini.

Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta yang terbesar di negara ini yang menguruskan lebih daripada 140 dana unit amanah.

Ia juga adalah penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan, menguruskan sembilan dana PRS.

Syarikat terbabit mempunyai 31 cawangan atau pusat khidmat pelanggan di seluruh negara. Setakat akhir November 2019, jumlah saiz dana yang diuruskan oleh Syarikat berkenaan adalah sebanyak RM84.9 bilion.

Berita Harian X